RAMLAH selesa hidup sendirian, bersyukur masih diberi kesempatan sambut Aidilfitri bersama ibu. FOTO: Aziah Azmee


GABUNGAN dua figura seni tanah air, Ramlah Ram dan Haiza Hanafi dalam satu sesi fotografi punya alasan yang kuat.

Apa tidaknya, kedua-dua selebriti popular ini antara penghibur tanah air yang berprofil besar.

Di sebalik simbahan cahaya populariti diraih, dua bintang ini sememangnya sudah mempunyai satu jenama kukuh dalam industri seni hiburan yang menarik untuk dikenang.

Jika diimbas semula, kedua-dua penyanyi ini mempunyai cerita dan impak tersendiri. Kejayaan demi kejayaan dilakar membuatkan nama dan lagu mereka masih menjadi siulan dan diterima anak muda.

Pertemuan bersama dua penyanyi ini bagaimanapun bukanlah mahu mengupas kisah perjalanan kerjaya mereka semata-mata, sebaliknya ingin menyelami kemeriahan Syawal yang disambut saban tahun.

Hidup sendirian sebagai janda tidak membuatkan sambutan Aidilfitri penyanyi Ramlah Ram suram, bahkan dia selesa dengan kehidupan yang dinikmati bersama ahli keluarga.

“Pada usia sekarang saya tidak terfikir untuk berumah tangga, sebaliknya keutamaan adalah untuk diri sendiri, keluarga dan kerjaya.

“Saya gembira dengan hidup sekarang. Bukan nak menolak perkahwinan, tapi masing-masing ada jalan hidup dan pilihan sendiri. Saya lebih selesa dan reda dengan setiap ketentuan. Saya serahkan soal jodoh kepada takdir Ilahi.

Katanya, meskipun ada yang mendekati namun dia mengakui pintu hatinya belum terbuka untuk kembali berumah tangga.

“Tipu kalau saya kata tidak ada yang mendekati. Saya tidak terlalu melayan dan memikirkannya.

“Jujur saya tidak pernah fikir soal perkahwinan, tapi kalau sudah ditakdirkan dengan seseorang saya tidak akan menolak,” katanya.

Ditanya mengenai kemeriahan Aidilfitri tahun ini, Ramlah berkata, dia bersyukur masih diberi kesempatan untuk menyambut hari raya bersama ibu tercinta yang kini berusia 76 tahun.


KEDUA-DUA selebriti popular ini antara penghibur tanah air yang berprofil besar.

“Alhamdulillah tahun ini masih diberi kesempatan untuk menyambut hari raya bersama mak. Sudah menjadi kebiasaan saya pulang ke Muar, Johor beberapa hari sebelum hari raya untuk melakukan beberapa persiapan.

“Selalunya hari raya pertama kami akan berada di rumah saja dan meluangkan masa bersama ahli keluarga.

“Cuma, setiap kali raya kami pasti merindui momen bersama arwah abah. Rindu nak kumpul satu keluarga dan bergelak tawa, tapi ia hanya tinggal kenangan saja,” katanya yang gemar menganyam ketupat.

HAIZA TERIMA KEHADIRAN PEMINAT SINGAPURA

Bagi Haiza pula, tahun ini giliran dia menyambut Syawal di rumah keluarga mentuanya di Melaka. Kata penyanyi dan penyampai radio itu, pada hari raya ketiga barulah berkesempatan beraya di rumahnya di Benut, Johor.

“Tahun ini Aidilfitri saya meriah dengan kehadiran peminat dari Singapura yang datang beraya pada hari raya ketiga. Mereka beritahu teringin sangat untuk merasai suasana raya di kampung, jadi saya mengalu-alukan kehadiran mereka.

“Lagipun adik saya di kampung sudah membuat pelbagai persiapan raya seperti memasang pelita di kawasan rumah dan menyediakan pelbagai juadah untuk dihidangkan kepada tetamu pada hari raya,” katanya.

Ditanya mengenai detik yang dirindui setiap kali Aidilfitri, Haiza memberitahu dia merindui momen ketika melakukan aktiviti marhaban di kampung halamannya.

“Saya rindukan momen marhaban kerana di Johor setiap kali pagi raya pasti ada orang datang ke rumah dan berselawat. Kumpulan ini akan pusing satu kampung dan berselawat.

“Bagi kaum hawa pula selalunya mereka akan melakukan aktiviti ini pada sebelah malam. Jadi membuatkan saya teringat momen manis ini ketika ikut mak dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Haiza ditebak soalan mengenai soal zuriat selepas anak sulungnya, Nur Iman Syafie berusia enam tahun.

Kata Haiza, anak sulungnya kerap bertanyakan mengenai perkara itu membuatkan dia selalu berdoa supaya dikurniakan rezeki secepat mungkin.

“Sekiranya hamil lagi, insya-Allah saya sudah bersedia. Iman pun sudah besar dan pandai bertanya nak adik.

“Kalau ada rezeki saya nak sangat anak lagi sebab tahun depan bakal menjengah usia 40 tahun. Insya-Allah jika tiba masanya, rezeki pastinya berpihak kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 5:00 AM