X
MONA bersama suami tercinta, Pekin Ibrahim. FOTO ihsan IG Mona
MONA bersama suami tercinta, Pekin Ibrahim. FOTO ihsan IG Mona
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Mona Allen berterima kasih kepada peminat yang memuji dan mendoakan dirinya kekal berhijab.

Bagaimanapun, Mona, 34, atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen mengakui belum lagi berhijrah ke arah itu dan tidak mahu berhijab atas permintaan orang lain.

Perkara itu mulai diperkatakan peminat apabila Mona yang juga pelakon drama Monalisa memuat naik gambar berhijab sejak dua Syawal lalu.

“Saya pun masih belajar untuk menjadi insan yang lebih baik. Malah, tudung yang dipakai pun saya pinjam daripada mak mentua.

“Ramai minta saya kekalkan imej ini. Insya-Allah, apabila sudah terdetik di hati, saya akan berbuat demikian.

“Saya tidak mahu berhijrah kerana mahu memenuhi permintaan atau ikut orang. Bimbang kalau sudah pakai nanti tiba-tiba nak buka semula.

“Apa pun, terima kasih atas doa dan kata-kata positif yang dititipkan. Doakan sahaja yang baik-baik,” katanya kepada Harian Metro.

AKUI belum bersedia untuk berhijab. FOTO ihsan IG Mona
AKUI belum bersedia untuk berhijab. FOTO ihsan IG Mona

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri, Mona berkata dia meraikannya dengan keluarga suami iaitu Pekin Ibrahim di Kota Bharu, Kelantan.

“Memandangkan ini tahun pertama kami beraya sebagai suami isteri, jadi saya ikut suami pulang ke kampung halamannya. Dapatlah saya berjumpa saudara mara suami di sana.

“Alhamdulillah, semuanya okay. Memang seronok apatah lagi ini pengalaman pertama kami.

“Kami pulang ke Kelantan pada malam raya dan akan kembali ke Kuala Lumpur malam ini,” katanya.

Ditanya mengenai zuriat, Mona berkata dia suami belum dikurniakan rezeki.

“Belum ada rezeki lagi. Lambat atau cepat, ini semua ketentuan Allah.

“Namun, saya dan suami tak berhenti berusaha serta berdoa. Insya-Allah, suatu hari nanti akan ada,” katanya.

Mona dan Pekin berkahwin pada 7 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 12:21 PM