ZAMANI.
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Zamani Ibrahim, 48, mengumumkan akan bertunang dengan gadis bernama Juliana.

Zamani yang popular bersama kumpulan Slam menerusi lagu Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling dan Gerimis Mengundang membuat kejutan apabila mengumumkan perkara ini pada majlis Ceria Aidilfitri Bersama Zamani yang berlangsung di sebuah lokasi di sini petang semalam.

Program anjuran syarikat miliknya, ZIME Production yang disertai peminatnya turut dihadiri oleh anggota Slam serta penyanyi Ameng Spring.

Tepukan bergemuruh peminat mengiringi pengumuman dibuat sebagai tanda merestui pilihan Zamani.

Difahamkan Zamani sudah lama mengenali Juliana yang mesra dengan panggilan Julie.

Bahkan gadis cantik ini sering hadir memberikan sokongan ketika Zamani menyertai program Gegar Vaganza 5.

Dia juga antara individu yang kuat memberikan kata-kata semangat apabila Zamani berdepan masalah dalam kariernya.

Zamani ketika dihubungi bagaimanapun mengakui belum mempunyai tarikh tepat untuk majlis pertunangannya.

“Masih belum dapat kerana kami masih mencari-cari tarikh yang sesuai.

“Apapun saya mengharapkan restu peminat agar mendoakan perancangan ini jadi kenyataan dan majlis nanti berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro.

Julie pula menyerahkan segala urusan kepada Zamani dan akur dengan perancangan yang dibuat.

“Saya hanya mengikut sahaja. Baik pada Zamani, maka baiklah untuk saya,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Zamani kini tampil dengan single terbaru berjudul Aduh ciptaan komposer Faizal Tahir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 1:56 AM