SAM mahu turunkan berat badan kerana rasa tak sihat.
Syafil Syazwan Jefri


SHAHEIZY Sam mengakui mula terasa kesan daripada berat badannya yang naik mendadak mencecah 80.9 kilogram. Menurut pelakon filem Polis Evo ini, dia akan kembali menurunkan berat badannya bermula bulan depan.

“Bila berat badan naik sampai sebegini rupa, saya sudah mula rasa tak sihat. Apabila batuk sikit, kepala sudah mula rasa migrain. Jika berjalan atau naik tangga, saya mula rasa mengah.

“Paling ketara apabila saya sudah mula rasa sakit lutut memandangkan kaki saya memang kecil,” katanya.

Sam, 37, berkata, berat badannya mula naik apabila dia berehat daripada kerjaya lakonan.

“Saya sekarang memang sedang bercuti daripada sebarang kerja lakonan. Jadi, apabila banyak masa rehat, selera makan pun bertambah. Dalam almari pakaian saya, 90 peratus baju lama memang dah tak muat.

“Jadi, bulan depan insya-Allah, saya akan mula bersenam semula dan cuba untuk turunkan berat badan,” katanya.

Sam turut mengucapkan terima kasih kepada pengikutnya di Instagram yang mengingatkannya supaya menjaga kesihatan.

“Terima kasih kepada mereka yang ingatkan saya supaya menjaga kesihatan. Saya setuju dengan pendapat mereka kerana banyak kesan buruk sekiranya kolesterol berlebihan dan sebagainya, lebih-lebih lagi pada usia saya sekarang.

“Sebelum ini, saya pernah turunkan berat badan dan insya-Allah, dalam masa dua atau tiga bulan saya akan bekerja keras untuk dapatkan berat badan ideal semula.

“Pada usia sekarang, penampilan bukanlah perkara utama, tapi lebih kepada faktor kesihatan yang menjadi keutamaan saya,” katanya.

Sam turut mengajak peminatnya untuk turut serta menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan.

“Sebelum ini, ketika badan saya dalam keadaan fit dan sedang menjalani penggambaran Polis Evo, ada orang bercakap, dia ada duit, bolehlah jaga badan dan ambil jurulatih kecergasan. Padahal, ramai juga orang kaya yang tak jaga badan dan sakit jantung.

“Jadi, sekarang apabila sudah gemuk, mereka cakap macam-macam pula. Jadi, saya nak ajak peminat yang berbadan besar dan ingin menurunkan berat badan untuk bersama-sama dengan saya, cabar diri kita.

“Kalau saya boleh turunkan berat badan, anda juga mesti boleh. Yang penting, mahu atau tidak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 5:00 AM