ADAM Corrie bersama isteri, Fazi Fuad dan anak, Adam Fateh Lee. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON dan usahawan, Adam Corrie, 50, mengakui pernah dikecam beberapa pelanggan selepas kisah butiknya di Busana @ Menara MARA, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur tiada sambutan tular pada Ramadan lalu.

“Ada pelanggan datang ke butik, kecam saya depan-depan dan persoal, kenapa mengadu, merungut, tidak bersyukur dan sebagainya.

“Malah ada juga yang cakap rekaan baju saya merepek tapi terdiam selepas menegur rekaan itu sebenarnya inspirasi daripada capal Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Pelakon filem KL Gangster itu berkata, selain itu wujud juga pelanggan yang mempersoalkan logo di poket baju.

Katanya, dia belum pernah berdepan ujian seperti itu sejak mula bergelar usahawan pakaian beberapa tahun lalu.

“Pernah sekali ketika berdiri di tepi jalan di persimpangan lampu isyarat berhampiran butik, penunggang motosikal tegur dan memberi kata-kata semangat serta mencadangkan saya berniaga dalam talian saja.

“Saya kata pernah buat semua itu (jualan dalam talian) dan hanya mampu bersabar dengan semua teguran serta kecaman,” katanya.

Adam berkata, luahan susulan ujian menimpanya ketika itu bukanlah rungutan sebaliknya hanya salah faham masyarakat mengenai isu yang berlaku.

Katanya, sebagai seorang Muslim, dia tidak pernah mempersoalkan rezeki kerana percaya setiap rezeki itu sudah pun ditentukan Allah.

“Cuma terkejut apabila ramai yang salah faham dengan kenyataan saya tempoh hari. Saya bersyukur dengan bantuan Allah dan ramai yang memberi sokongan tanda sayangkan saya,” katanya syukur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 2:57 PM