MURALI turut berhasrat mengarah filem kerohanian.
MURALI turut berhasrat mengarah filem kerohanian.
Norhayati Nordin


BERDEKAD menimba pengalaman sebagai pengarah, nama Murali Abdullah, 55, tidak asing buat penggiat seni tempatan. Apatah lagi, ramai pelakon berbakat besar diketengahkan Murali dalam filem dan drama yang mendapat sentuhannya.

Malah, Murali sudah membuktikan kemampuannya apabila dinobatkan anugerah Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) 2010 menerusi drama Suara Saleha.

Namun, karier Murali kian perlahan pada 2012 kerana mengalami serangan angin ahmar .

Pada November tahun lalu, Murali berdepan dugaan besar apabila sekali lagi mengalami serangan angin ahmar hingga tangan dan kakinya sukar bergerak.

Tujuh bulan sudah berlalu, kini Murali masih berehat di rumah untuk proses penyembuhan.

Namun, sebagai penggiat seni sejati Murali ada impian yang mahu dilaksanakannya sebelum menutup mata iaitu menyalurkan ilmu lakonan dan pengarahan dimiliki.

“Memang menjadi hasrat saya sebelum meninggal dunia mahu berkongsi ilmu dan pengalaman dengan anak muda,” katanya.

Murali berkata meskipun nikmat kesihatan sudah ditarik, otaknya masih berfungsi dengan baik.

“Pergerakan saya kini terbatas dan perlu menggunakan kerusi roda. Namun, otak saya masih sihat.

“Syukur juga kerana serangan angin ahmar dialami tujuh bulan lalu hanya mengakibatkan saya hilang keupayaan tangan dan kaki.

“Otak saya masih baik dan sihat. Jadi, sisa hidup yang masih berbaki ini akan saya manfaatkan dengan berkongsi ilmu. Itu impian saya sebelum menutup mata," katanya.

Pengarah drama Jejak Karmila itu berharap ada pihak berminat menjalin kerjasama untuk merealisasikan impian murninya itu.

“Agama kita pun menyarankan selagi hidup berkongsilah ilmu dan pengalaman dengan orang lain.

“Saya mahu melaksanakannya cuma tidak ada platform. Jika ada pihak berminat termasuklah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) membantu melunaskan hasrat ini saya amat bersyukur,” katanya.

Berkongsi rutinnya sepanjang tempoh berehat, Murali berkata dia banyak menonton program televisyen dan menerima kunjungan rakan.

“Sesungguhnya rezeki itu datangnya daripada Allah. Walaupun saya kini sakit dan tidak boleh bekerja, Alhamdulillah masih ada rakan yang sudi melawat dan membantu,” katanya.

Tetap bersemangat mahu memartabatkan industri karya kreatif negara, Murali berhasrat mengarah filem kerohanian.

“Jika ada peluang saya mahu hasilkan filem kerohanian berjudul Bilal yang mengangkat golongan mualaf.

“Saya sudah ada skrip yang diilhamkan daripada pengalaman sendiri dan rakan mualaf untuk diketengahkan kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 4:30 AM