SHAHRULEZAD yakin untuk mengangkat cerita Nur ke layar filem kerana ia sudah memiliki jenama dan pengikutnya sendiri. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Shahrulezad
SHAHRULEZAD yakin untuk mengangkat cerita Nur ke layar filem kerana ia sudah memiliki jenama dan pengikutnya sendiri. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Shahrulezad
Ramlah Zainal


SELEPAS mencetuskan fenomena dan mendapat sambutan hebat penonton, drama Nur bakal diangkat ke layar filem pada tahun depan.

Selaku pengarah dan penulis skripnya, Shahrulezad Mohameddin berkata, filem Nur bakal diterbitkan bersama Primeworks Studios dan produksinya Radius One Sdn Bhd.

“Pihak kami yakin untuk mengangkat cerita Nur ke layar filem kerana ia sudah memiliki jenama dan pengikutnya sendiri.

“Sebagai penulis skrip, saya juga menjanjikan jalan cerita dan naskhah yang lebih menarik serta berkualiti daripada drama.

“Apa yang mencabar bagi menghasilkan cerita Nur menepati kualiti filem dan berbaloi buat peminat membeli tiket untuk menontonnya di pawagam,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas pemilihan pelakon pula, kata Shahrulezad, semua barisan pelakon drama Nur 2 dikekalkan untuk beraksi dalam filem itu.

Filem Nur bakal menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah, Azhan Rani, Azar Azmi, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Eyra Hazali.

“Setakat ini, semua pelakon utama sudah bersetuju untuk berlakon dalam filem Nur nanti.

“Saya berharap semua peminat setia drama Nur sama-sama mendoakan filem ini berjaya direalisasikan nanti,” katanya.

Ditanya keadaan pelakon utama watak Nur, Amyra yang sarat mengandung pula, kata Shahrulezad, pihaknya akan menunggu sehingga pelakon itu selamat bersalin nanti.

“Amyra juga bersetuju untuk berlakon dalam filem ini dan akan ke lokasi penggambaran sebaik saja selesai tempoh berpantang.

“Pihak kami dijangka memulakan penggambaran filem ini pada Mac depan kerana saya juga berharap filem Nur akan ditayangkan di pawagam tanah air juga pada tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 4:05 PM