PENYANYI duo asal Belanda rakam lagu Melayu untuk pikat hati peminat Malaysia.


PENYANYI duo kelahiran Belanda, Nick & Simon mempertaruhkan single berjudul Kasih Sayang sebagai salah satu cara untuk menempatkan nama di arena muzik rantau Asia khusus buat peminat di Malaysia.

Dianggotai Simon Keizer, 34, dan Nick Schilder, 35, kedua-duanya mengakui tidak berdepan sebarang masalah untuk mempelajari bahasa Malaysia.

“Apabila dimaklumkan bakal berkunjung ke Malaysia buat julung kali, kami begitu teruja. Memang impian kami untuk mengembangkan sayap di rantau Asia.

“Justeru, kami bersepakat memilih perkataan yang dekat dengan masyarakat tempatan untuk diselitkan dalam lagu kami. Selepas beberapa perbincangan, kami mencapai kata sepakat dengan ungkapan ‘kasih sayang’.

“Bantuan teknologi terkini juga memudahkan kami untuk mempelajari sebutan perkataan dalam bahasa Malaysia. Biarpun hanya sekali diperkenalkan dengan perkataan itu, kami mudah belajar,” kata Schilder.

Mengagumi bakat yang dimiliki penyanyi antarabangsa seperti Jason Mraz dan Ed Sheeran, Nick & Simon berharap single Kasih Sayang mendapat tempat di hati peminat.

“Ini hanyalah permulaan. Jika kami diberi peluang pada masa akan datang, kami tidak sabar mahu bekerjasama dengan pemuzik Malaysia.

“Kami juga akan perkenalkan lagu Kasih Sayang di negara kami. Kami harap lagu ini mendapat sambutan nanti,” katanya.

Menurut Keizer, mereka dijadualkan berada di Malaysia selama 11 hari.

“Selain mendekati budaya, adat dan makanan tempatan di sini, kami turut mengadakan persembahan pada 26 Julai ini.

“Selain itu, kehadiran kami di Malaysia antara lain adalah untuk menjalani penggambaran siri dokumentari The Dream yang kini sudah masuk musim kelapan.

Bersahabat sejak di bangku sekolah lagi, Keizer berkata, komunikasi adalah elemen penting bagi mengekalkan keserasian sebagai penyanyi duo.

“Saya akui, setiap persahabatan pasti ada perselisihan faham. Ia bergantung kepada cara bagaimana kita berdepan dengan konflik yang timbul. Selain perlu buang ego, komunikasi amat penting bagi memastikan mana-mana isu dapat diselesaikan dengan baik.

“Misi utama kami adalah memperjuangkan muzik yang menjadi minat saya dan Nick sejak dahulu lagi,” katanya yang pernah muncul dengan 10 album studio bersama temannya itu sejak 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 4:30 AM