HARRY (tengah) bersama kumplan UNIC menghasilkan lagu Padu Bossku sejak dua tahun lalu dan tiada kaitan dengan elemen politik. FOTO Arkib NSTP
HARRY (tengah) bersama kumplan UNIC menghasilkan lagu Padu Bossku sejak dua tahun lalu dan tiada kaitan dengan elemen politik. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


KOMPOSER dan gitaris kumpulan Khalifah, Harry, menafikan lagu ciptaannya yang dinyanyikannya bersama kumpulan nasyid UNIC berjudul Padu Bossku ada kaitan dengan politik.

Menurutnya, lagu itu sudah dihasilkan sejak dua tahun lalu sebelum kata-kata 'Terbaik Bossku' itu mula tular atas dasar politik.

"Saya dah hasilkan lagu ini sejak dua tahun lalu dan ideanya adalah daripada penggunaan perkataan 'Bossku' oleh orang Sabah.

“Jadi, bila ada warganet menganggap lagu ini ada kaitan dengan politik atau ahli politik, itu tidak benar," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tiada istilah menumpang populariti sesiapa seperti mana yang diperkatakan warganet.

"Saya tidak hasilkan lagu ini untuk menumpang populariti sesiapa atau apa-apa situasi.

"Kebetulan, lagu ini kami keluarkan selepas perkataan 'Bossku' ini mula diguna pakai oleh banyak pihak, maka orang menganggap lagu ini adalah untuk tumpang populariti," katanya.

Secara ringkasnya, lagu ciptaan Harry yang menerima sentuhan lirik daripada Achoi Floor 88 itu bercerita mengenai keagamaan dan mengangkat Rasulullah sebagai ketua atau bos.

Ini adalah kali pertama Harry bekerjasama dengan kumpulan UNIC untuk menghasilkan lagu Rock bertemakan ketuhanan.

Di YouTube, lagu itu mula mencuri perhatian pendengar dan sejak mula dimuat naik pada 24 Jun lalu, ia sudah meraih lebih 630,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 8:11 PM