FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir


POPULARITI diraih penyanyi muda Haqiem Rusli tidak perlu disangkal lagi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, dia antara penyanyi remaja yang berada dalam kelas tersendiri.

Bermula dengan lagu Segalanya, Tergantung Sepi, Selamat Tinggal Sayang dan Jatuh Bangun, Haqiem membuktikan dia bukan saja berbakat dalam bidang nyanyian tetapi juga cemerlang dalam penciptaan lagu.

Namun, Haqiem, 21, atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli akur apabila lagu Lembah Kesepian yang dilancarkan lebih sebulan lalu kurang mendapat perhatian.

Malah, muzik video (MV) rasmi lagu itu yang dilancarkan pada 16 Jun lalu hanya mencatat 1.1 juta tontonan .

Jika dibandingkan dengan MV lagu terdahulu, ia jauh berbeza hinggakan ada antaranya berada dalam carta trending.

“Kalau ikutkan komen di YouTube, 98 peratus memberikan maklum balas positif. “Namun, tontonan memang lambat. Mungkin sebab tema yang dibawa dalam lagu ini dan MV mengenai kekeluargaan.

“Sewaktu menghasilkan lagu ini, saya sudah menjangkakan perkara itu.

“Namun, saya tidak kisah kerana niat utama mahu beri kesedaran kepada orang ramai menerusi mesej yang disampaikan dalam lagu ini. “Saya nak beri nasihat dan pengajaran pentingnya ayah dalam kehidupan kita.

“Kalau ada yang boleh terima, saya anggap mesej sampai. “Tolak tepi soal jumlah tontonan MV, meski ia lambat berbanding MV lagu saya yang lain,” katanya.

Ditanya sama ada dia berasa kecewa dengan sambutan diberikan, Haqiem menegaskan tiada apa yang perlu dikesalkan.“Saya tidak berasa ralat, malah jauh sekali kecewa,” katanya.

Melihat senario yang berlaku, Haqiem yang juga pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) menerusi lagu Tergantung Sepi belum merancang untuk menerbitkan single lain.

Malah, menurut Haqiem, dia juga akan mengatur strategi baharu dan memilih genre yang akan dilancarkan sebagai single selepas ini.“Soal sama ada nak kembali ke formula awal iaitu seperti lagu sebelum ini, saya kena rancang lagu apa nak dikeluarkan dulu. “Daripada situ baru boleh tengok perkembangan macam mana.

“Buat masa sekarang, saya belum ada sebarang perancangan untuk menghasilkan single baharu. “Kalau ada pun, insya-Allah tahun depan. Genre dan jenis lagu pun belum ditentukan lagi. “Kiranya, tahun ini hanya lagu Lembah Kesepian," katanya.

Fikir kepuasan

Dalam berkarya, Haqiem yang juga bekas pemenang tempat kedua program Idola Kecil musim pertama lebih mementingkan kepuasan diri berbanding memikirkan perjalanan lagu itu.

Malah, Haqiem mengakui dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk setiap lagu yang diterbitkan.

“Setiap kali berkarya saya tidak pernah fikir atau ambil kisah sama ada lagu itu akan tercalon dalam sesebuah pertandingan atau tidak.

“Apatah lagi, saya bukan jenis yang sentiasa meletakkan harapan terhadap lagu yang dihasilkan. “Kepuasan saya lebih kepada jika lagu berkenaan diterima ramai dan meninggalkan kesan kepada mereka. “Jika lagu itu menang, ia bonus. Saya sentiasa percaya dengan rezeki Allah. Kalau ada, adalah.

Sekiranya tak menjadi, saya akan buat lagu lain dan takkan pernah berasa putus asa,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai kerjaya seninya, Haqiem dalam perancangan untuk menerbitkan album kedua.“Perancangan sudah ada dan baru sahaja selesai merakam empat lagu. “Lagu itu bergenre balada, R&B dan satu lagu Inggeris.

“Bila ia akan diterbitkan belum tahu lagi. Mungkin tahun depan atau dua tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 10:34 AM