Zamaera
Zamaera
Norhayati Nordin


SELEPAS muncul dengan lagu solo berjudul Wanita pada 2017, penyanyi rap berimej ranggi, Zamaera, 24, kembali meneruskan perjuangannya.

Zamaera kini tampil dengan lagu duet bersama rakan seangkatannya, Lil Asian Thicccie berjudul Get Munni hasil ciptaan mereka.

Lagu dicipta pada November tahun lalu itu lebih menjurus kepada pengalaman Zamaera dan Thicccie yang bekerja keras untuk mendapatkan duit.

“Saya dan Thicccie suka berdikari. Meskipun masih muda, kami tidak suka terlalu bergantung kepada keluarga.

“Kami melihat duit sebagai tema yang bagus untuk diketengahkan dalam lagu kerana yakin ia mudah difahami semua orang.

“Terus terang, bukan mudah untuk mendapatkan duit. Apatah lagi, kami memilih mengetengahkan bakat sebagai penyanyi hip hop,” katanya.

Zamaera berkata, meskipun genre muzik hip hop di negara ini didominasi penyanyi lelaki, tidak salah dia mencuba.

“Saya sukakan cabaran, ditambah lagi minat meneroka muzik hip hop yang sememangnya kena dengan jiwa. Bagi saya, apa yang penting dapat berkarya.

“Saya juga gembira dan bersyukur pembabitan dalam muzik hip hop turut mendapat sokongan rakan artis lelaki seperti SonaOne,” katanya.

Menurut Zamaera, SonaOne banyak membantunya dalam penghasilan melodi dan kerja belakang tabir.

Zamaera yang aktif menyanyi sejak berusia 17 tahun menjadikan kejayaan penyanyi terkenal Nicki Minaj sebagai insipirasi.

“Saya peminat setia Nicki. Dia berbakat besar dan berani dalam penampilan. Bagi saya wanita perlu berani.

“Kejayaan pun takkan datang bergolek tanpa usaha. Saya seronok melihat maklum balas positif pendengar terhadap Get Munni,” katanya.

Berterima kasih dengan sokongan diberikan pendengar, Zamaera berkata, setiap karya yang dihasilkan pasti ada mesej yang baik.

Mengulas kerjasamanya dengan Thicccie, Zamaera berkata, mereka senang berbincang dan masing-masing mempunyai pandangan yang boleh dikongsi.

“Penting untuk saya bekerjasama dengan individu yang ‘sekepala’ dan mempunyai minat sama. Saya dan Thicccie tahu apa yang kami mahukan.

“Lebih-lebih lagi sudah banyak pengalaman manis dan pahit kami lalui dalam usaha memperkenalkan karya kami,” katanya.

Nama Zamaera mula mendapat tempat di arena muzik tanah air pada awal 2017 dengan lagu pertama berbahasa Inggeris berjudul Helly Kelly.

Siapa sangka lagu itu berjaya menarik pendengar lagu Inggeris tempatan apabila mampu mendominasi carta MET Hitz FM selama enam minggu.

Video muzik rasmi Get Munni yang dimuat naik di YouTube sejak sebulan lalu sudah mencatat lebih 160,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:00 AM