EZLY nekad intai peluang di bidang nyanyian walau pada awal mahu jadi komposer.


SOKONGAN keluarga yang tidak berbelah bahagi dan percaya dengan kebolehannya membuatkan Ezly Syazwan nekad mengintai peluang dalam bidang nyanyian.

Ezly atau nama sebenarnya Ezly Syazwan Shah Mohd Joeelleyno berkata, sebelum ini dia tidak pernah terfikir untuk bergelar penyanyi sebaliknya hanya pasang angan-angan untuk menjadi komposer.

“Sejak dahulu saya hanya terfikir hendak jadi komposer tetapi keluarga dan rakan melihat saya berbakat sebagai penyanyi. Mereka yakin saya mampu melakukannya.

“Alang-alang dapat sokongan dan peluang, takkan hendak lepaskan begitu saja. Saya akan cuba ketengahkan bakat yang ada,” katanya.

Menurut Ezly, meskipun ada ramai penyanyi baharu dia percaya keunikan yang dimiliki mampu menempatkan namanya sebaris penyanyi sedia ada.

“Tidak dinafikan kita ada ramai penyanyi baharu tetapi saya tidak boleh mengalah dan kena terus berusaha.

“Jika orang sekeliling percaya dengan kemampuan dan bakat saya, ia perlu dihargai dan buktikan boleh melakukannya dengan baik.

“Walaupun gementar, saya tidak boleh biarkan perasaan itu menguasai diri. Saya kena cuba dan buat yang terbaik,” katanya.

Bercerita bagaimana dia dapat menempatkan diri dalam bidang nyanyian, Ezly berkata, kesungguhan bapanya memperdengarkan lagu ciptaannya kepada Johari Teh membuka pintu rezeki apabila disunting sebagai artis rakaman.

Bernaung di bawah Syarikat Map Music, Ezly turut mahu dikenali sebagai penyanyi yang boleh mencipta lagu.

“Saya dilamar Map Music melalui Instagram dan bertemu Johari dengan ditemani ayah. Johari menerangkan selok-belok industri seni.

“Ketika rancak berbual, ayah memperdengarkan lagu ciptaan saya kepada Johari. Dia beria-ia membuktikan kepada Johari yang saya boleh menyanyi.

“Saya terharu dengan kesungguhan ayah yang sentiasa menyokong minat saya.

“Mulanya agak segan juga tetapi rasa bangga apabila komposer hebat terbuka hati selepas mendengar karya saya,” katanya.

Sebagai permulaan, Ezly memperkenalkan lagu ciptaannya berjudul Kau Bukan Dia. Lagu bergenre balada itu mengisahkan rintihan seorang jejaka apabila cintanya dipersiakan.

“Setiap kali menghasilkan lagu, pendengar selalu bertanya apakah lagu yang dicipta berdasarkan pengalaman sendiri. Sebenarnya, ia hanya imaginasi,” katanya lagu terbabit sudah boleh ditonton di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 3:46 PM