REMY beri sepenuh perhatian terhadap karier lakonan. FOTO Rohanis Shukri
Ramlah Zainal


“SAYA masih solo dan belum bertemu pengganti. Kalau ada jodoh, saya akan beritahu. Saya juga mohon semua peminat mendoakan yang baik-baik sahaja,” kata Remy Ishak ketika ditanya soal perkahwinan.

Pelakon utama drama Pujaan Hati Kanda itu bagaimanapun mengakui ada terfikir untuk menamatkan zaman bujang apatah lagi kini sudah berusia 37 tahun.

“Bohonglah kalau saya cakap tak pernah fikir soal kahwin tetapi buat masa ini perlu beri sepenuh perhatian terhadap karier lakonan.

“Tak lama lagi filem lakonan saya, Sangkar dan Dendam Pontianak akan masuk panggung. Banyak perkara yang perlu dilakukan termasuklah menjayakan aktiviti promosi,” katanya kepada Harian Metro.

Diminta mengulas gosip dirinya bercinta dengan pelakon jelita Mira Filzah yang masih diperkatakan ramai sehingga ke hari ini, Remy berkata dia tidak mampu menutup mulut orang.

“Sudah banyak kali saya jelaskan perkara ini tetapi orang masih memperkatakannya. Saya tak marah dan tak boleh tutup mulut mereka,” katanya.

Sebelum ini Remy pernah mengeluarkan kenyataan akan berkahwin pada 20 Februari 2020 tetapi ia sekadar gurauan.

“Saya bergurau sahaja dengan pihak media apabila mengumumkan tarikh majlis kahwin. Tak sangka pula ia jadi sensasi.

“Saya yang tak jadi kahwin, orang lain pula yang menggelabah,” katanya.

Remy pernah bertunang dengan Ezza Yusof pada Mei 2017 tetapi hubungan itu berakhir pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 6:25 PM