SALAMMUSIK bakal membuat persembahan sulung di sebuah acara muzik festival di Medan, Indonesia pada 23 Ogos ini.


PENYANYI berkumpulan yang menzahirkan segala rasa menerusi muzik mereka, Salammusik kini muncul dengan album baharu bertajuk Riwayat.

Album ketiga yang dilancarkan itu mengambil masa hampir empat tahun untuk disiapkan selepas kali terakhir menghasilkan album pada 2012.

Penyanyinya, Ashraf Salam berkata, walaupun sudah lama tidak tampil dengan album baharu, Salammusik tidak pernah berhenti mengeluarkan single kepada kelompok peminat mereka.

“Ketika industri muzik rancak dengan evolusi dunia digital pada 2012, kami juga terikut sama ketika itu apabila kerap tampil dengan single. Namun, empat tahun lalu kami sudah mula merangka konsep album ini.

“Riwayat adalah album berbentuk konseptual apabila ia banyak pengisian seperti sejarah, fakta dan banyak bereksperimen dengan bunyi.

“Antara bunyi tradisional yang kami masukkan adalah gamelan, gendang, keroncong selain dicampur dengan muzik moden supaya pendengar dapat menerimanya,” katanya yang turut merumuskan Riwayat sebagai gambaran perjalanan hidup.

Riwayat memuatkan 13 lagu antaranya Sedia, Tiada Rasa Sebaris Kata, Cengkaman Beracun, Utusan Kasih, Malam Terlerai, Debar Lembut dan Menyemai Kemungkinan.

Menurut Ashraf, walaupun pemilihan lagu kurang mendapat perhatian dan dimainkan di stesen radio, mereka tidak pernah berputus asa untuk terus mengetengahkan setiap muzik yang dibawakan.

“Bagi kami, muzik yang dibawakan ada cerita dan mesej yang ingin kamu luahkan. Walaupun lagu yang dibawakan kurang dimainkan di stesen radio, setiap lagu yang dikeluarkan masih ada yang minat.

“Kami juga tidak pernah kecewa atau mahu berhenti mengeluarkan lagu sebaliknya sentiasa mencari idea dan lagu yang baik untuk terus konsisten dalam industri seni,” katanya yang bakal mengadakan jelajah terakhir untuk album berkenaan di Gama Rock House JDT, Johor pada 17 Ogos ini.

Dalam perkembangan lain, Salammusik bakal membuat persembahan sulung di sebuah acara muzik festival di Medan, Indonesia pada 23 Ogos ini.

Ashraf berkata, dia dan anggota lain mengakui gementar untuk membuat persembahan pada acara terbabit kerana perlu menyampaikan tiga buah lagu dalam bahasa Batak.

“Kami bakal membuat persembahan selama sejam pada acara terbabit. Jujur kami sangat teruja dan gementar, tapi kami bersyukur keranan mempunyai penyanyi wanita, Dyana Shamsuddin yang berasal dari Dusun, Sabah.

“Dyana boleh bertutur dalam bahasa Dusun dan Batak juga tidak jauh beza. Kami harap acara itu akan berlangsung dengan meriah dan berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:00 AM