WANY Hasrita di Makkah. FOTO: Instagram Wany Hasrita
Ramlah Zainal


“KALI pertama melihat Kaabah, hanya Tuhan saja yang tahu. Saya menangis seperti budak kecil. Sepanjang tawaf, mata tidak berkelip melihat Kaabah kerana tak percaya sudah ada depan mata,” kata penyanyi popular Wany Hasrita ketika berkongsi pengalamannya mengerjakan haji di Makkah, ketika ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Wany berkata, pengalaman pertama menunaikan haji itu memang menakjubkan.

“Alhamdulillah, saya sudah selesai menunaikan ibadah haji. Bermula dengan menjaga ihram dan wukuf di Arafah, saya terus ke Muzdalifah mengutip batu untuk melontar jamrah. Selepas tengah malam kami ke Masjidil Haram untuk tawaf dan saie,” tulisnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu bersyukur kerana urusan ibadah hajinya itu berjalan lancar.

“Saya juga bermalam di Mina selama tiga hari. Alhamdulillah, urusan melontar jamrah juga dipermudahkan Allah sehinggalah tawaf selamat tinggal tadi," katanya.

Dalam perkongsian di Instagram juga, Wany juga memberitahu dia sudah membacakan doa yang dikirimkan peminat.

Pada masa sama, Wany turut mendoakan supaya peminatnya juga berpeluang menjadi tetamu Allah pada masa akan datang.

"Doa anda mana yang sempat saya sudah bacakan dan terima kasih kerana mendoakan saya. Saya juga mendoakan semoga semua peminat dapat ke sini dengan keluarga tersayang, Insya-Allah," katanya.

Wany mengerjakan Rukun Islam kelima itu atas tiket jemputan daripada kerajaan Arab Saudi. Penyanyi jelita itu turut ditemani rakan artis Amira Othman yang juga penyanyi dan pelakon.

WANY kongsi pengalaman bersama peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 6:42 PM