ZAHIRIL Adzim Foto ig Zahiril Adzim
ZAHIRIL Adzim Foto ig Zahiril Adzim
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Zahiril Adzim yang kini aktif sebagai pemain eSports ingin mempromosikan sukan itu secara positif memandangkan ia sudah diangkat ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, selain sebagai satu wadah hiburan untuk mengisi masa lapang, eSports juga mampu menjana pendapatan.

“Saya mula bermain permainan video sejak zaman kanak-kanak tetapi apabila berlakon, saya berhenti. Awal tahun ini, saya kembali berjinak-jinak dengan permainan ini.

“Pada awalnya, saya memuat turun aplikasi permainan video PUBG di telefon dan kemudiannya, di komputer. Dari situ saya dapat idea untuk cuba bermain dengan serius dan Alhamdulillah, kini dapat jana pendapatan,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, ramai anak muda berbakat dalam permainan video dan boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Ramai sebenarnya yang berbakat dalam permainan video atau sukan eSports ini. Namun, mungkin ramai tak nampak. Jadi, saya harap, apabila orang tahu saya aktif, saya dapat bantu promosikan komuniti ini,” katanya.

Ditanya mengenai kos perbelanjaan yang dikeluarkan untuk memasang komputer serta alatan yang diperlukan untuk permainan video itu, Zahiril berkata dia membelanjakan kira-kira RM20,000.

“Bagi memasang alatan yang perlu sahaja, saya berhabis sekitar RM20,000. Isteri saya ada bertanya mengenai permainan video ini dan saya jelaskan kepadanya bahawa ramai orang sudah jadikan ia sebagai profesion,” katanya.

LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro

Ditanya mengenai matlamatnya dalam permainan video dan sukan eSports Zahiril berkata, dia mahu menyediakan tempat permainan video dan menyumbang pendapatan kepada mereka yang aktif.

“Kalau boleh, saya nak buka sebuah ‘gaming house’ atau tempat permainan video khas untuk anak-anak muda bermain permainan video. Pada masa sama, mereka juga dapat menjana pendapatan daripada sekadar bermain tanpa apa-apa faedah,” katanya.

Terbaru, Zahiril rancak mempromosikan filem lakonannya, Kron yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Ogos ini.

Selain Zahiril, Kron turut dibintangi Dayana Roza, Aman Graseka, Opie Zami, Ellie Suriati Omar dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:17 PM