NEELOFA simpati dengan nasib pekerja Urusan Melayu. FOTO/NSTP
Georgie Joseph


PENGACARA dan usahawan popular, Neelofa, 30, simpati dengan nasib yang menimpa kakitangan Utusan Melayu Berhad yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kemungkinan syarikat itu ditutup dan berisiko kehilangan pekerjaan.

Sehubungan itu, Neelofa menawarkan bantuan mencari pekerjaan kepada kakitangan terkesan menerusi media sosialnya atas keprihatinan terhadap organisasi terbabit yang banyak membantunya selama ini.

“Saya memang terkesan dengan apa yang berlaku. Mustahil tak rasa sedih kerana saya membesar dengan dua akhbar ini (Utusan Malaysia dan Kosmo!). Mereka banyak membantu saya dari segi karier lakonan dan perniagaan.

“Saya berpendapat dengan membuka laluan buat mereka di media sosial saya terutamanya, saya dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan baru,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Neelofa memuat naik status di Facebook mengenai kesedihannya terhadap situasi getir dihadapi syarikat akhbar berkenaan.

Dia berhasrat menggunakan platform media sosialnya untuk membalas budi kakitangan di sana.

“Sangat sedih apabila mendengar mengenai situasi terkini Utusan, mereka banyak bantu karier saya daripada awal. Jadi, saya mahu balas budi dan harapnya dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Jika anda mengenali sesiapa daripada jabatan sumber manusia atau syarikat yang menawarkan pekerjaan, tinggalkan butiran di ruangan komen. Saya pasti ramai sedang mencari kerja baru, jangan risau ia terbuka kepada semua.

“Sesiapa yang mahu memohon, silakan melihat komen-komen berkenaan. Saya harap dengan kerjasama semua kita dapat membantu mereka mendapat pekerjaan secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, satu pertunjukan amal iaitu Towel Extravaganza @ Busana MARA yang akan diadakan pada 5 dan 6 September anjuran Pocket Tv bersama butik First Time Around juga akan mengendalikan kutipan amal untuk tabung Utusan Malaysia dan Kosmo.

Antara artis yang bakal terbabit ialah Mac Rahayu, Rozita Rohaizat, Ayu Damit, Azura Aziz, Datin Ramziela, Syafeek Ikhwan, Umar Uzair, Zam Ryzam, Keena Prasista, pereka fesyen Calvin Thoo dan ramai lagi.

Selain itu, mentor keusahawanan Azizan Osman menerusi Twitter turut menawarkan untuk menaja latihan kejayaan kepada lebih 100 kakitangan Utusan minggu depan.

“Saya akan tunjukkan kepada mereka bagaimana untuk mengubah hidup. Insya-Allah dengan segala kemahiran dan pengalaman yang mereka sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 3:00 PM