AZHARINA ketika Concert Azharina: Queen of Soul.
AZHARINA ketika Concert Azharina: Queen of Soul.


"SAYA tidak kecewa dengan apa yang sudah berlaku. Mungkin bukan rezeki tetapi saya tidak boleh tutup mulut peminat yang mempertikaikannya,” kata penyanyi Azharina mengenai kontroversi persembahannya dalam penerbangan AirAsia di atas ketinggian 38,000 kaki dari aras laut pada 22 Jun lalu tidak diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR).

Azharina ketika dihubungi mengakui bersyukur kerana dapat mencipta sejarah menyanyi di awan biru dengan bantuan syarikat penerbangan AirAsia.

"Semua sudah tertulis, jadi kena positif dan teruskan kehidupan. Terima kasih kepada AirAsia kerana merealisasikan impian saya untuk menyanyi dalam pesawat,” katanya.

Azharina turut menegaskan penyanyi Ayda Jebat tidak harus dipersalahkan apabila menerima pengiktirafan sebagai Persembahan Muzik Secara Langsung Di Latitude Paling Tinggi (38,000 kaki di atas paras laut) oleh MBOR baru-baru ini.

"Ayda seorang wanita yang baik dan saya salah seorang peminatnya. Dia tidak bersalah dalam hal ini kerana dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sahaja. Tambahan pula, Pengiktirafan itu diberikan kepada Minggu Muzik Malaysia 2019.

"Saya harap isu ini tidak lagi dipanjangkan meski sedar ia mengundang tanda tanya di hati ramai peminat yang setia menyokong karier saya,” katanya.

Terdahulu, penyokong penyanyi kelahiran Sabah itu meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial dengan menegaskan Azharina penyanyi pertama mencipta rekod mengadakan persembahan dalam penerbangan AirAsia di atas ketinggian 38,000 kaki dari aras laut sempena Concert Azharina: Queen of Soul pada 29 Jun lalu.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah menjelaskan, tiada penyerahan dokumen rasmi daripada penganjur konsert, Atlas One Events untuk mengiktiraf persembahan itu sebaliknya hanya sekadar permohonan.

"Setiap hari akan ada sahaja rekod baru yang ingin dipecahkan oleh mana-mana individu. Justeru amat mustahil bagi kami untuk menyedari atau memantau setiap pencapaian di Malaysia.

"Jika pemohon tidak mengemukakan permohonan berdokumen rasmi, amat sukar untuk kami mengenal pasti.

"Saya tidak nafikan memang penganjur konsert berkenaan ada menghubungi kami dua hari sebelum acara berlangsung tetapi amat sukar untuk kami menghantar pegawai bagi mengesahkan rekod itu kerana masa sangat suntuk.

"Jadi, kami minta pihak mereka untuk menghantar dokumen dan kertas cadangan untuk kami nilai. Bagaimanapun, tiada penyerahan dokumen rasmi daripada pihak pemohon," katanya.

Menurut Jwan, pihaknya baru menerima satu permohonan daripada kelab peminat Azharina Angels yang ingin melihat penyanyi itu diiktiraf MBOR sebagai penyanyi pertama membuat persembahan di awan biru.

"Kami sudah menghubungi kelab peminat itu bagi urusan penyediaan dokumen yang perlu dilengkapkan sebelum Azharina diiktiraf MBOR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 7:49 PM