FARAH Nabilah dan Fikry.
Georgie Joseph


SEJAK ditayangkan pada 12 Ogos, drama terbaharu di slot Akasia TV3, Kau Yang Pertama serta-merta menjadi trending di Twitter pada minggu pertama tayangannya. Drama bersiri arahan Hadith Omar itu jelas ada tarikannya sendiri.

Dibintangi Fikry Ibrahim, Farah Nabilah, Tasha Shilla, Ellyas Abdullah, Elly Mazlein, Yusuf Bahrin, Wan Sharmila, Marisa Yasmin, Sheila Mambo, Wan Nor Azlin, Amar Asyraf, Nasz Sally dan Laila Nasir berjaya mencipta fenomena.

Ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam, drama berkenaan mendapat perhatian disebabkan corak ceritanya segar dan realistik. Namun, semestinya lakonan cemerlang pelakon juga menjadi kekuatan utama.

Misalnya, watak Farhan lakonan Fikry yang disuntik dengan karakter lelaki lembut paling menjadi perbualan. Mana tidaknya, bukan kebiasaan untuk menampilkan watak hero yang berperwatakan sedemikian.

Berkongsi mengenai watak berkenaan, Fikry tidak menafikan dia sebenarnya serba salah untuk menjayakan watak itu. Pada awalnya dia bimbang watak berkenaan akan meninggalkan impak negatif.

“Setakat ini, daripada 10 komen yang saya terima, hanya satu yang mempersoalkan kenapa heronya lembut? Yang lain boleh terima, namun ada kenalan rakan saya siap bertanya sekiranya saya memang lembut.

“Bagaimanapun, saya rasa seronok. Alhamdulillah, saya ada rujukan dekat set dan dia akan betulkan jika ada kelakuan yang terlebih tapi tak adalah sampai menggunakan panggilan seperti ‘nyah’,” katanya.

Pertama kali melakonkan watak sebegitu, Fikry tidak menafikan berdepan cabaran bagi memastikan keberkesanan wataknya menjadi.

FARAH cuba lari dari watak drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek. Tasha dan Amar turut beraksi.

Dia mengakui mengalami kesukaran untuk terus mengekalkan watak lembut itu sendiri.

“Apabila menjalani penggambaran 12 episod pertama, kemudian kena lompat terus ke episod 28, dan kena kembali ke episod tiga atau enam, saya terlupa bagaimana jadi lembut.

“Risau juga apabila nanti penonton cakap watak lembut saya sudah lari. Tapi, untuk babak di tempat kerja dan dengan kakitangan, saya tak lembut sangatlah,” katanya.

Cukup disenangi gandingannya dengan Farah sebelum ini menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek, Fikry mengakui dia sememangnya teruja bekerja bersama sekali lagi untuk drama 28 episod ini.

Menurutnya, dia melihat Farah seorang gandingan yang sangat menyenangkan selain seronok apabila berpasangan.

“Saya suka kerja dengannya disebabkan dia sangat komited, disiplin, dan senang untuk saya berkomunikasi bersama apabila membuat perancangan mana-mana babak. Kali ini, dia turut lakukan wataknya dengan baik,” katanya.

FARAH UBAH WATAK, TASHA GUNA PENGALAMAN

Farah yang melakonkan watak Rose Natasya pula mengakui dia perlu membuat kelainan pada wataknya demi memberi angin berbeza berbanding watak lakonannya dengan Fikry sebelum ini.

“Disebabkan ini gandingan kali kedua, saya memang ubah habis watak saya supaya berbeza dengan cerita sebelum ini. Dalam Cik Reen & Encik Ngok Ngek, watak saya seperti garang sikit.

“Untuk drama ini, penonton cakap saya pula yang ‘ngok ngek’. Memang kena tukar wataklah supaya orang tak cakap sama saja, sudahlah pelakon pun sama,” katanya.

Farah juga menyifatkan watak Rose adalah asing baginya dan tidak pernah membawakan watak sedemikian.

“Ini pertama kali saya membawakan watak manja-manja. Jadi saya banyak rujuk watak daripada drama Korea termasuk drama What’s Wrong With Secretary Kim apabila saya belajar reaksi pelakonnya.

“Saya tak mahu kelihatan lakonan seperti dibuat-buat. Ini disebabkan watak manja-manja sebegini boleh buatkan orang jadi menyampah sebaliknya mahukan mereka lebih rasa watak itu manis,” katanya.

BARISAN pelakon dan produksi Kau Yang Pertama pada sesi bersama peminat, baru-baru ini.

Tasha yang melakonkan watak Ameera pula tidak menafikan watak dijayakannya ada persamaan dengan diri dalam dunia sebenar. Demikian itu, dia menyalurkan pengalaman peribadinya dalam watak terbabit.

“Penulis atau pengarah selalunya nak watak itu dilakonkan seseorang yang bersesuaian. Jadi, saya mengambil pengalaman sendiri demi memastikan penghayatan lebih terhadap watak Ameera.

“Saya memang suka kaji latar belakang sebuah watak sebelum lakonkannya. Selain memasukkan pengalaman sendiri, saya pun turut tokok tambah dalam watak itu,” katanya.

Kau Yang Pertama mengisahkan kisah tidak terduga antara pengasas dan pemilik Butik Carla’s Collections iaitu Farhan dan pekerjanya, Rose Natasya yang membuat latihan industri bagi semester akhir pengajiannya.

Dalam diam, Rose selalu berangan-angan dapat bercinta dengan Farhan umpama babak dalam drama Korea. Namun, Rose sedar dirinya siapa, lagipun Farhan sudah bertunang dengan Ameera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:01 AM