KERETA jenis MG TF 120 miliknya itu dipecahkan individu tidak  dikenali yang mencuri beberapa komponen penting.
KERETA jenis MG TF 120 miliknya itu dipecahkan individu tidak dikenali yang mencuri beberapa komponen penting.
Ridzuan Abdul Rahman


“SALAM sejahtera semua. Amat menyedihkan saya. Tiada apa yang boleh nak dikata. Saya tiada komen,” tulis penyanyi Yanzten di laman sosial Instagramnya baru-baru ini.

Hantaran bekas penyanyi kumpulan rock Rusty Blade yang popular dengan lagu Tiada Lagi Aku itu memaparkan sebuah kereta mewah tersadai tanpa tayar dan cerminnya pecah.

Yantzen ketika dihubungi berkata, kereta jenis MG TF 120 miliknya itu dipecahkan individu tidak dikenali yang mencuri beberapa komponen penting.

"Cermin tingkap dipecahkan, set pemain cd dan dvd, aksesori serta stereng diambil.

"Tayar dan rim pun turut dicuri. Ada kesan cubaan buka but belakang apabila bahagian kuncinya dipecahkan,” katanya dalam nada marah bercampur kesal.

Mengulas lanjut kejadian itu, Yantzen berkata, keretanya diparkir di depan rumah kedai rakannya yang dibuka 24 jam.

"Saya beli kereta ini pada 2005. Apabila saya beli tanah dan bina rumah di Hulu Langat, kereta ini terpaksa ditinggalkan di situ kerana jalan masuk agak teruk dan menggunakan kereta lain untuk bergerak.

"Saya buat keputusan parkir kereta ini depan rumah kedai. Saya berkenalan dengan pemiliknya dan kami jadi kawan.

"Pemilik kedai ini beritahu jangan risau kerana kedainya buka 24 jam. Namun, dia sudah pindah keluar dan pencuri ‘kerjakan’ kereta saya," katanya.

Menurut Yanzten, dia menyedari tayar dan rim keretanya dicuri pada malam raya Aidiladha lalu.

"Saya bercadang mencari trak tunda untuk membawa kereta ini ke rumah saya tetapi belum sempat buat apa-apa, cermin pula dipecahkan.

"Kerugian dianggarkan hampir RM5,000. Bahagian bonet pun tidak boleh buka kerana kuncinya sudah rosak.

"Saya sayangkan kereta ini dan hanya menggunakannya untuk program tertentu seperti persembahan makan malam dan acara khas," katanya.

Berikutan kejadian itu, Yanzten terpaksa menempah semula stereng keretanya secara atas talian.

Yantzen juga turut membuat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 11:52 AM