ZAINI berusaha tingkatkan potensi diri sesuai peredaran zaman.
Ardini Sophia Sina


MASIH menunggu projek yang mampu melonjakkan namanya di persada seni tanah air, Zaini Amar bagaimanapun tidak hanya duduk diam menanti detik impian itu.

Dia bekerja keras dan tidak pernah mengenal erti putus asa demi menggapai cita-cita. Terjun ke dunia pengacaraan, Zaini yang banyak menimba ilmu daripada Amin Idris sering meningkatkan potensi diri agar sesuai dengan kehendak semasa.

“Sekarang, saya sering menjadi pengacara sama ada untuk majlis tertutup mahupun umum. Saya juga ada buat latihan termasuk belajar vokal daripada Adeeb Nahar.

“Belajar vokal ini bukan sahaja untuk penyanyi tetapi sebagai pengacara juga perlu ada vokal yang baik dan sesuai dengan majlis yang dikendalikan kerana bagi hos, suara aset penting.

“Saya juga berterima kasih kepada Amin kerana memberikan saya peluang untuk menunjukkan bakat menerusi programnya iaitu The Amin Idris Show yang dibuat secara langsung menerusi Facebook,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Lakonan dan Pengarahan di Universiti Sains Malaysia, Zaini terlebih dahulu bekerja sebagai pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi.

Walaupun bergelar pensyarah, banyak perkara yang dia pelajari daripada pelajarnya termasuklah meneliti kehendak anak muda masa kini. Dia mendapati, penampilan antara perkara yang perlu dititikberatkan.

ZAINI Amar.

“Ketika bergelar pensyarah, saya bukan hanya berkongsi ilmu, tetapi turut cuba melihat industri seni daripada kaca mata mereka. Saya juga bertanya, apa perkara pertama yang mereka lihat dan antaranya adalah penampilan.

“Sebagai anak seni, penampilan memainkan peranan penting. Sebab itulah saya turunkan berat badan daripada 108 ke 80 kilogram. Amin pun sarankan perkara ini untuk pastikan saya nampak menarik di kaca televisyen,” katanya.

Menyedari bukan mudah membina asas yang kukuh dalam bidang yang diceburi, Zaini berharap kerjayanya mampu bertahan selama yang boleh. Malah, dia tidak tergesa-gesa menempa populariti.

“Macam anak muda sekarang, mereka mahukan populariti dan media sosial mempunyai ramai pengikut. Perkara lain, belakang kira. Namun, kita harus jujur dengan diri sendiri. Kena sentiasa memperbaiki diri.

“Tidak mengapa lambat menyerlah asalkan kita masih mampu bertahan. Saya memilih untuk berjalan sebagai anak seni selama mana yang boleh dan bukannya terbang tinggi, tetapi cepat jatuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:45 AM