ALIF bersama Sherry sebagai pengacara Big Stage. FOTO: Aizuddin Saad
ALIF bersama Sherry sebagai pengacara Big Stage. FOTO: Aizuddin Saad
Norhayati Nordin


"KALAU tak menang di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, saya terima dan tetap bersyukur kerana sudah dicalonkan dalam tiga kategori. Saya akur jika tewas dengan calon lain kerana terus-terang segan untuk meminta peminat supaya mengundi saya,” kata penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal Alif Satar.

Sehubungan itu, Alif dicalonkan ABPBH32 dalam kategori Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/ Berkumpulan Popular.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 29, berkata, apa yang dilakukannya selama ini adalah kerana minat dan yakin dengan bakat dimilikinya. Lagi pun, sejak dari dulu dia memang tidak pernah meletak harap tinggi peminat mengundinya untuk mana-mana acara anugerah.

"Selama 13 tahun ini saya berjuang atas paksi bakat dan syukur, segala usaha itu dapat dibuktikan.

"Apapun, saya sangat berterima kasih dengan kelab peminat Alif Satar FC yang sanggup bersusah payah mengundi hingga nama saya ada dalam senarai Top 5 ABPBH," katanya.

Mengulas dirinya yang dianggap 'hero Malaya', Alif berkata pujian itu terlalu besar dan dia hanya mampu mengucapkan terima kasih.

“Terima kasih kepada mereka yang anggap sedemikian. Saya berharap dapat pertahankan karier ini kerana bakat dan enggan terpalit kisah sensasi. "Saya sentiasa berpegang dengan nasihat ibu bapa dan peringatan isteri bahawa saya keluar bekerja untuk mencari rezeki buat keluarga.

"Apatah lagi, saya kini teruja bakal menyambut kelahiran anak ketiga iaitu bayi lelaki pada Oktober nanti. Doakan yang baik-baik buat saya dan keluarga,” katanya.

Alif kini berganding dengan pelakon dan pengacara Sherry Alhadad sebagai pengacara Big Stage musim kedua selain turut mempersiapkan diri untuk menyertai Ironman Langkawi 2019 pada Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:31 PM