TISHA masih menjalani tempoh berpantang sejak sebulan lalu.. FOTO Salhani Ibrahim
TISHA masih menjalani tempoh berpantang sejak sebulan lalu.. FOTO Salhani Ibrahim
Ramlah Zainal


PELAKON filem Villa Nabila, Tisha Shamsir, 33, berkongsi berita sedih apabila bayi kembar tiga yang dikandungnya tidak dapat diselamatkan kerana mengandung di luar rahim, baru-baru ini.

Menurut Tisha, dia dan suami, Mohd Ady Hafize Hanaffiah masih bersedih kerana sudah menunggu kehadiran cahaya mata sejak tiga tahun lalu.

“Saya dapat tahu mengandung luar rahim apabila dua kandungan berusia dua bulan ini pecah dan terpaksa menjalani pembedahan pada penghujung Ramadan lalu.

“Kami berusaha untuk menyelamatkan satu lagi kandungan dalam rahim tetapi gagal,” katanya kepada Harian Metro.

Kata pelakon yang turut dikenali menerusi drama bersiri Gerak Khas itu, dia kini masih menjalani tempoh berpantang sejak sebulan lalu.

“Walaupun masih sukar untuk menerima berita kehilangan tiga kandungan kembar sekali gus, kami reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Kami juga bersyukur kerana kehilangan ini Allah gantikan dengan rezeki dalam bisnes menerusi penubuhan produksi Adtisha Productions Sdn Bhd dan projek telefilem sulung, Kerusi Kecil ini,” katanya.

Ditanya perancangan untuk mendapatkan cahaya mata, kata Tisha, dia dan suami berdoa semoga mereka akan dikurniakan anak kembar lagi selepas ini.

“Peluang untuk dapat anak kembar juga cerah kerana dalam keluarga suami memang ramai kembar termasuk kembar empat.

“Namun, buat masa ini saya masih berehat hingga luka pembedahan pulih sepenuhnya untuk mengandung semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 4:17 PM
Digital NSTP Subscribe