ALIFF (kanan) bersama Bella ketika permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Mac lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ALIFF (kanan) bersama Bella ketika permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Mac lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Georgie Joseph


PELAKON dan penyanyi Bella Astillah mengakui bekas suaminya Aliff Aziz masih menghubunginya namun enggan mengulas lanjut mengenai status rujuk semula antara mereka.

Bella, 25, berkata mereka berhubung sekadar bertanya khabar dan tiada niat untuk berdendam mahupun memusuhi Aliff.

“Saya tak bersedia untuk bercerita mengenai soal dia pujuk bagi rujuk semula disebabkan hal ini privasi. Saya reda dan percaya dengan apa yang terjadi dan bakal terjadi kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Saya hanya menunggu.

"Sudah tiga bulan bercerai, saya dan Aliff masih saling menghubungi namun lebih banyak bertanya khabar masing-masing atau anak kami, Ayden. Saya tak nak bermusuh dengan sesiapa.

"Saya sentiasa percaya kalau ada jodoh, adalah. Tak kisahlah pasangan yang sudah berpisah berpuluh tahun pun,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon kelahiran Sandakan, Sabah itu juga mengakui dia memang sudah memaafkan Aliff dan kini lebih positif menerima perpisahan mereka.

“Sebenarnya bukan mudah untuk ‘move on’ namun saya memilih untuk memaafkannya. Itulah yang memberi saya kekuatan selain rasa lebih tenang dan tanpa dibelenggu rasa sakit hati atau benci.

“Daripada terus bersedih, lebih baik saya gembirakan diri dan fikirkan keluarga serta Ayden. Jikalau bersedih, saya akan terus memandang wajahnya.

“Sekarang pun jarang ada masa untuk saya bersedih disebabkan sangat sibuk dengan kerja,” katanya.

Pada Mac lalu, Bella memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Aliff selepas penyanyi Sayang Sayang itu curang dengan beberapa wanita berbeza.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ayden yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 9:38 PM
Kabinet Malaysia 2020