Baby Shima.
Syafil Syazwan Jefri


TINDAKAN penyanyi Baby Shima memuat naik video membalas kenyataan seorang usahawan kosmetik popular bukan gimik untuk mempromosikan lagu baru usahawan itu, tetapi kerana kecewa dengan tindakan usahawan itu menghinanya selepas dia mengkritik lagu terbarunya.

Shima ketika dihubungi berkata, sekiranya itu adalah gimik dan strategi pemasaran, ia tidak akan berhasil kerana dia bukanlah artis popular.

"Kalau benarlah ia gimik yang dirancang, kenapa dia tidak melakukannya dengan artis yang lebih popular daripada saya. Saya bukan sesiapa dan tidak ada apa-apa untuk membantu menaikkan populariti lagu barunya itu," katanya.

Menurut Shima, isu itu timbul apabila dia menulis komen dan memberi pendapat mengenai lagu baru usahawan itu.

Dalam komennya itu, Shima memberi pendapat lagu itu menarik tetapi seperti tidak kena dengan vokalnya.

"Dia meminta pendapat orang ramai mengenai lagu barunya di Instagram. Saya cuma berikan pendapat saya secara peribadi, tapi dia pula melenting tak tak tentu pasal.

"Dia sindir saya di Instagram Story dan keluarkan kenyataan seperti ingin menyaman saya. Saya tak takut sebab saya tahu, saya tak salah," katanya.

Ditanya sama ada usahawan kosmetik itu sudah membuat permohonan maaf, Shima memaklumkan ada.

"Dia ada membuat permohonan maaf tapi bukan secara peribadi dan hanya kongsikan di Instagram. Saya tak tahu sama ada itu ikhlas atau terpaksa," katanya.

Ditanya sama ada dia akan terima sekiranya usahawan itu ingin bekerjasama dengannya, Shima berkata, dia tidak terfikir mengenainya.

Dalam pada itu, Shima kini sedang membuat persiapan untuk pelancaran single terbarunya, Pura Pura Bujang yang akan dilancarkan, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 12:39 PM