LUQMAN
Rudy Imran Shamsudin


PEMENTASAN Ola Bola The Musical (OBTM) yang diterbitkan Enfiniti (M) Sdn Bhd, mencipta sejarah tersendiri apabila ia dipentaskan tiga kali dalam tempoh sehari di Pulau Pinang pada 31 Ogos lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Pementasan OBTM yang diarah dan diterbitkan Puan Sri Tiara Jacquelina dipersembahkan dalam tiga sesi iaitu pada jam 2 petang, 5 petang dan 8 malam.

Persembahan itu terpaksa dibuat tiga sesi kerana lokasi persembahan iaitu Majestic Theatre di Jalan Phee Choon hanya boleh memuatkan 800 orang dalam satu-satu masa.

Pastinya, persembahan kali ini memberikan cabaran yang bukan sedikit buat pelakon OBTM, terutama dalam mengekalkan stamina.

Bagaimanapun, berkongsi pengalaman dilalui, pelakon utama OBTM memegang watak Ali, Luqman Hafidz menjelaskan walaupun dia dan rakan terpaksa beraksi dalam tiga persembahan, mereka berasa begitu seronok.

Katanya, soal penat langsung tidak timbul apabila melihat penonton memenuhi dewan persembahan teater.

“Tidak dinafikan sehari sebelum persembahan berlangsung iaitu pada 30 Ogos, kami berlatih sehari suntuk hingga ke tengah malam.

“Keesokan harinya apabila persembahan bermula kami mengambil semangat kemerdekaan untuk memberikan yang terbaik. Mengadakan tiga persembahan dalam masa satu hari tenaga luar biasa memang sangat diperlukan.

“Apabila persembahan jam 2 petang sudah tamat rata-rata pelakon sudah mula berasa keletihan. Bagaimanapun, kami tidak boleh memberi alasan kerana persembahan perlu diteruskan dan perlu memberikan yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, semangat pelakon kembali hidup apabila kebanyakan penonton yang menyaksikan persembahan OBTM sama-sama menjerit dan bersorak ‘gol’. Mereka sama-sama merasai apa yang cuba dipersembahkan.


OBTM juga akan dipentaskan di Kota Kinabalu pada 11 September dan Kuantan (21 September).

Kata Luqman, persembahan pada jam 8 malam bertambah meriah apabila sebahagian besar daripada penonton turut berdiri dan menyanyikan lagu Barisan Kita yang turut dipersembahkan OBTM.

“Saya rasa teruja kerana persembahan kami dilakukan pada Hari Kebangsaan sekali gus semangat menjadi lebih semarak.

“Situasinya seakan-akan seperti mereka seperti benar-benar menyaksikan perlawanan bola sepak apabila setiap kali pasukan Malaysia memperoleh gol, penonton akan bersorak kegembiraan.

“Pada saya persembahan dilakukan menjadi lebih istimewa apabila pemain bola sepak veteran negara, Syukor Salleh turut datang menyaksikan persembahan yang diadakan sebagai tanda sokongan,” katanya.

Selain soal kekerapan persembahan, saiz pentas juga turut menjadi cabaran kepada produksi OBTM dan pelakon. Ini kerana dua pementasan dilakukan sebelum ini dibuat di pentas besar di Istana Budaya.

Luqman turut mengakui perkara itu dan pentas juga turut menjadi antara cabaran perlu didepani pihak produksi OBTM apabila mereka melakukan persembahan jelajah dengan Pulau Pinang menjadi lokasi pembukaan.

“Pentas di Majestic Theatre agak kecil jadi produksi dan pelakon perlu menyesuaikan dengan dengan apa yang mereka ada.

“Mujur sewaktu sesi latihan dilakukan di Enfiniti (M) Sdn Bhd, kami sudah berlatih di pentas kecil yang ada. Cuma dalam memastikan persembahan tampak bagus, ada beberapa perkara perlu dilakukan dan diberikan penekanan terutama dari sudut ‘blocking’.

“Latihan beberapa kali perlu dilakukan bagi persembahan nampak sempurna. Walaupun penat, pada saya apa yang dilakukan oleh OBTM sangat berbaloi,” katanya.

Luqman juga berharap selepas ini apabila mereka mengadakan persembahan di Kuching, Sarawak pada 6 hingga 8 September ini, penonton di sana akan memberikan semangat yang sama.

Selain Pulau Pinang dan Kuching, OBTM juga akan dipentaskan di Kota Kinabalu pada 11 September dan Kuantan (21 September).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:10 AM