AMEER terharu dengan sokongan peminat yang meninggalkan komen positif di video lirik single barunya, Sudahlah. FOTO Owee Ah Chun
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI yang juga anggota kumpulan Forteen, Ameerais Azhar atau Ameer mengakui terharu dengan reaksi peminat yang meninggalkan komen di video lirik single barunya, Sudahlah.

Menurutnya, single solo menjadi ruang untuk dia membuktikan kemampuannya menyanyi.

"Antara komen yang buatkan saya rasa terharu adalah apabila ada yang berkata, 'Dari penyanyi latar, dah jadi penyanyi'. Bagi saya, itu adalah satu kata-kata pembakar semangat untuk berusaha lebih dalam nyanyian," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, menerusi single solo juga ramai yang mula melihat dan menghargai bakatnya.

"Ada juga yang memberitahu, bakat saya boleh membawa diri ini pergi lebih jauh. Bila nampak komen begitu, saya rasa penat lelah selama ini terbayar.

"Alhamdulillah juga kerana sejak dimuat naik ke YouTube pada dua hari lalu, rata-rata peminat dan pendengar memberikan komen positif mengenai lagu Sudahlah itu," katanya.

Kemampuan menyanyi Ameer sebelum ini sentiasa dipertikai setiap kali kumpulannya, Forteen muncul dengan lagu baru. Bahkan, ada yang menganggap bahawa dia tidak boleh menyanyi.

"Dalam satu kumpulan, kita tak boleh pentingkan diri sendiri. Jadi, satu lagi dibahagikan kepada tiga orang dan semua kerja dibuat secara berkumpulan.

"Jadi, kalau anda nak dengar suara saya menyanyikan satu lagu penuh, anda kena dengar single solo saya ini," katanya.

Sudahlah adalah single solo ketiga Ameer, ditulis oleh komposer, Merah Biru. Tidak bersendirian, Sudahlah juga menampilkan penampilan istimewa gitaris, Denny Mojo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:44 PM