ANTARA barisan pelakon Sangkar.
Norhayati Nordin


FILEM Sangkar yang menggandingkan pelakon Zul Ariffin dan Remy Ishak sebagai teraju utama berjaya mencatat kutipan RM10.3 juta dalam tempoh 17 hari tayangan di pawagam.

Jumlah kutipan terbaru ini disahkan Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai yang masih rancak mengadakan siri jelajah promosi filem Sangkar.

Gayatri ketika dihubungi berkata, dia berterima kasih kepada semua penonton yang sanggup ke panggung untuk menonton filem itu.

"Sebagai penerbit filem, perasaan bimbang dengan penerimaan penonton di pawagam memang ada tetapi saya yakin dengan karya ini.

"Apatah lagi, selepas menyaksikan hasilnya bersama pengarah Kabir Bhatia membuatkan kami percaya penonton akan menyukainya.

"Penting buat penerbit dan pengarah memastikan filem dihasilkan bukan hanya disukai kami tetapi paling utama penonton," katanya.

Mengulas percaturan tepat dilakukan pihaknya dan Kabir menggandingkan Zul dan Remy, Gayatri mengakui perkara itu.

"Saya tahu penonton mungkin biasa melihat Zul menjadi pilihan utama produksi Infinitus Gold sebagai hero, begitu juga Remy yang sering bekerja dengan Kabir dalam setiap filem arahannya.

"Diakui gabungan Zul dan Remy tepat kerana mereka memiliki kelompok peminat tersendiri.

"Kejayaan filem Sangkar sudah tentu dengan adanya sokongan berterusan peminat Zul dan Remy yang mahu melihat gandingan dua hero hebat ini,” katanya.

Menurut Gayatri lagi, filem Sangkar adalah cetusan idea Zul yang berminat mengangkat kisah sukan seni bela diri campuran (MMA).

Sangkar yang ditayangkan di pawagam tanah air sejak 29 Ogos lalu diterbitkan empat syarikat produksi iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Selain Malaysia, Sangkar turut ditayangkan di negara jiran seperti Singapura dan Brunei.


FILEM Sangkar catat RM10.3 juta dalam masa 17 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:34 PM