SITI Nurhaliza beramah mesra dengan peminat yang hadir ke Konsert Mini Shopee X SIMPLYSITI.
Syanty Octavia Amry


Menangis selepas selesai menyanyikan lagu pertama bertajuk Jerat Percintaan, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui sebak melihat penari memakai seragam sekolah muncul di atas pentas.

Siti yang hebat pada Konsert Mini Shopee X SIMPLYSITI Sabtu lalu berkata, walaupun itu idea asalnya, dia tidak mampu menahan air mata daripada gugur.

Selesai lagu berkenaan, Siti berkongsi kenangan awal pembabitannya sebagai penyanyi dan pernah ke studio berpakaian sekolah untuk merakamkan lagu.

“Ketika itu umur saya 16 tahun. Selesai sekolah saya bergegas ke studio untuk rakam lagu.

“Apabila melihat penari memakai seragam sekolah, hati saya sebak teringatkan susah payah di awal pembabitan dulu.

“Saya pula kalau menangis memang payah nak menyanyi,” katanya.

Siti berkata, konsert berkenaan sangat istimewa dan belum pernah lagi dilakukannya sebelum ini.

Tidak hanya menghiburkan penonton dengan suara merdunya, Siti turut mengundang peminat naik ke pentas melakukan beberapa aktiviti.

Malah, lebih 1,000 penonton begitu terhibur apatah lagi menerusi konsert yang diadakan untuk menghargai pelanggan Shopee dan SIMPLYSITI itu mereka dapat tahu dengan lebih mendalam kisah kembara seni penyanyi tersohor itu.

Berkongsi mengenai perkara itu, Siti ketika ditemui selepas konsert berkata, idea berkongsi perjalanannya sebagai anak seni datang daripada kedua-dua pihak.

Malah, apa yang cuba dikongsikan itu dapat mendekatkan dirinya dengan peminat baru yang kurang mengenali dirinya.

“Saya anggap konsert ini sangat istimewa kerana jarang saya berkongsi perjalanan awal sebagai anak seni.

“Bagi saya ini persembahan yang sangat menarik dan belum pernah saya buat lagi,” katanya.

Selain Jerat Percintaan, Siti turut menyanyikan rangkaian lagu yang jarang dipersembahkan dalam konsert besarnya sebelum ini.

Antaranya Wajah Kekasih, Satu Cinta Dua Jiwa, Langkah Di Persada, Di Sini Ku Berjanji, Percayalah, Ku Mahu, Pendirianku, Ku Menunggu, Biarlah Rahsia, Anta Permana dan Warna Dunia.

Siti turut menghiburkan penonton dengan lagu duet popularnya bersama penyanyi Judika, Kisahku Inginkan sambil bergurau mengatakan Judika tidak dapat hadir dan dia terpaksa menyanyi seorang diri.

Pada malam itu juga secara eksklusif Siti mempersembahkan lagu tema filem Dendam Pontianak berjudul Kasihku Selamanya.

Siti menjelaskan banyak keistimewaan konsert ini termasuklah pemilihan lagu yang diambil daripada setiap albumnya.

“Saya berbincang dengan pengurusan untuk ketengahkan lagu yang jarang dinyanyikan daripada semua koleksi album saya. Cuma yang tidak ada lagu tradisional.

“Alhamdulillah, ramai peminat suka dan jika tiada aral untuk konsert akan datang saya akan tampil dengan banyak lagi lagu yang jarang dibawakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:00 AM