HARITH mengundang kecaman warganet apabila memuat naik status berbaur sindirian mengenai kempen Utamakan Produk Muslim atau 'Buy Muslims First' (BMF). FOTO Supian Ahmad
Norhayati Nordin


PELAWAK terkenal tanah air, Harith Iskander Musa enggan memberi komen berhubung status berbaur sindiran pada ciapan (tweet) ditulisnya semalam berkaitan kempen Utamakan Produk Muslim atau 'Buy Muslims First' (BMF).

Bagaimanapun, status ciapan berkenaan akhirnya mengundang kecaman serta perasaan geram warganet kepada Harith.

Harith, 53, yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hanya memberitahu tiada komen bagi pihaknya.

"Kalau nak cakap mengenai 'tweet' saya tu, my official comment is no comment (komen rasmi daripada saya adalah tiada komen).

"Ramai dah contact (hubungi) saya. Thanks anyway (Apapun, terima kasih)," tulisnya berserta emoji ketawa.

Pada status ciapan ditulisnya, Harith seakan mempersoalkan Why stop at 'Buy Muslims Products Only'. How about 'Support Muslim Athletes Only'. Stop watching badminton, EPL, NBA, MMA, UFC, WCG - in fact stop watching All sports.

Ciapan yang ditulis pada jam 3.31 petang itu, bagaimanapun mendapat 161 kicau semula (retweet) dan 430 tanda suka (like) daripada pelayar Twitter.

Kebanyakan warganet yang menulis komen pula menyifatkan tindakan Harith kurang bijak dan ia bukan perkara kelakar.

Harith sudah menceburi karier seni lebih dua dekad dan cukup dikenali dalam bidang komedi sebagai pelawak solo.

Sepanjang pembabitannya, Harith juga pernah muncul juara pertandingan Funniest Person In The World pada Disember 2016 dan memenangi Anugerah Komedian Terbaik di Asia 2014 oleh Top 10 Majalah Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:06 PM