EMMA mengakui berada di kelab malam semata-mata mahu menikmati pizza. FOTO Instagram Emma Maembong
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAKON, Emma Maembong, 27, mengakui menikmati pizza di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, kelmarin biarpun foto yang dimuat naik di Instagram (IG) miliknya menampakkan dia berada di Sungai Buloh, Selangor.

Sebaik foto berkenaan dimuat naik di laman sosial, pelakon filem Hantu Rumah Sakit Jiwa itu memaut lokasi di Sungai Buloh hingga menjadi perdebatan warganet.

Beberapa pengikutnya di IG mendakwa pelakon terbabit berbohong dan memintanya memberikan penjelasan.

Tidak lama kemudian, seorang lagi pengikut memaklumkan dia tidak pernah menemui premis itu berikutan menetap di kawasan berkenaan.

Terkesima dengan asakan warganet, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail itu mengakui berada di kelab malam semata-mata mahu menikmati pizza.

"Memang saya ke sana tetapi kongsi kedudukan sekarang (sewaktu foto itu dimuat naik di Sungai Buloh).

"Saya pergi la, pizza sana sedap, why (kenapa)," katanya membalas komen warganet.

Pada 6 Februari lalu, Emma menarik perhatian peminatnya apabila mendedahkan aurat biarpun hampir lima tahun mengenakan hijab.

Sebelum itu pelakon drama Kau Yang Terindah itu mencetuskan kontroversi sebaik dua foto miliknya yang berada di celah kangkang Syed Abdullah Syed Abdul Rahman yang juga abang kepada Menteri Belia dan Sukan tersebar di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:46 PM