ZIZAN RAZAK


“DEMI Allah saya dengan Bella hanya berkawan. Tiada niat apa pun,” kata pelawak, pelakon dan pengacara popular Zizan Razak mengenai status hubungannya dengan bekas isteri penyanyi Aliff Aziz, Bella Astillah.

Zizan ketika ditemui berkata, sekiranya ada wanita bertakhta di hatinya ketika ini, dia tidak akan sesekali memuat naik gambar kekasihnya di media sosial.

“Kalau ada apa-apa dengan wanita yang saya suka, saya tidak akan memuat naik gambarnya di laman sosial.

“Saya berani muat naik gambar Bella pun sebab kami hanya berkawan. Saya dan Bella sudah lama kenal.

“Cuma, kami mula rapat selepas saya memperkenalkan dia dengan pengarah Ghaz Abu Bakar yang mencari heroin untuk sebuah naskhah,” katanya.

Zizan bagaimanapun mengakui mana-mana lelaki yang mengenali Bella pasti akan terpikat dengan perwatakannya yang lemah-lembut.

“Dia wanita yang baik dan lemah lembut. Mudah kata seorang lelaki kalau tengok dia mesti akan suka.

“Namun kalau sudah tertulis dia jodoh saya, takkan saya nak menolak. Semuanya sudah ditetapkan oleh Ilahi,” katanya.

Terdahulu gosip percintaan Zizan dan Bella mula bertebaran di media sosial apabila masing-masing dilihat kerap bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 11:59 PM