SEARCH bekerjasama dengan Santo hasil cenderamata eksklusif.
Ridzuan Abdul Rahman


APA sahaja pandangan negatif yang dilemparkan terhadap mereka, kumpulan rock legenda tanah air Search tetap kekal ke kedudukan teratas.

Nama besar mereka masih didambakan peminat terutama menerusi lagu berhantu Isabella, Fantasia Bulan Madu dan Pawana.

Sudah namanya kumpulan legenda, peminat tegar Search sentiasa menyokong produk yang dikeluarkan termasuk cenderamata khas jenama Search.

Persefahaman dicapai kumpulan dianggotai Amy (penyanyi), Kit (gitar), Din (gitar) dan Nasir (bass) bersama Santo apabila melancarkan ‘versi terkini’ produk cenderamata mereka baru-baru ini.

Santo yang bermaksud tiga kepala dikendalikan tiga individu iaitu Saiful, Herwan dan Aimie yang mempunyai latar belakang serta pengalaman berbeza dalam bidang profesional.

Santo kini mengeluarkan baju, topi dan pelbagai barangan lagi yang dihasilkan secara eksklusif dalam bentuk edisi terhad.

Rekaan dihasilkan untuk pasaran Asia Tenggara dan peminat boleh memiliki koleksi cenderamata ini secara atas talian di laman web mereka.

Search berkata, mereka pernah mempunyai barangan cenderamata sendiri sebelum ini, tetapi kerjasama dengan Santo membawa impak lebih besar terhadap mereka.

“Kami beri ruang kepada Santo untuk tampil idea mereka yang baru. Mungkin sesetengah baju itu hanya paparkan gambar album.

“Tapi, ada fasa di mana mereka akan buat rekaan baru nanti ikut situasi.

“Kerjasama kami masih panjang. Apa yang lebih penting ialah sikap profesional mereka apabila berurusan dengan kami,” kata Nasir.

Amy pula membayangkan pelbagai produk boleh dirangka menerusi kerjasama ini.

“Banyak idea yang baik dapat dikembangkan daripada kerjasama ini. Mungkin selepas ini ada produk lain,” kata Amy pula.

Kata Nasir, perbincangan yang dilakukan kedua-dua pihak tidak mengambil masa terlalu lama.

“Mereka awalnya berjumpa pihak Fenomena Music kerana segan nak jumpa Search.

“Tawaran datang menerusi Fenomena Music dan mulanya kami kurang berminat kerana Search pernah mengalami beberapa episod tidak menyenangkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, Santo tak pernah putus asa mencuba hingga akhirnya mereka dapat jumpa kami sendiri dan selepas berbincang, kami rasa perlu bagi peluang,” katanya.

Namun, Search tidak teragak-teragak menamatkan kerjasama sekiranya Santo gagal membuktikan prestasi mereka.

“Ini ialah perniagaan dan ia ada tempoh tertentu. Mereka diberi tempoh yang selesa.

“Perancangan kami memang jauh. Sekarang hanya baju dan topi, selepas ini akan lebih banyak merangkumi seluar dan kasut.

“Mungkin juga akan ada produk mandian dan ia akan diteruskan kerana Search satu jenama,” kata Nasir.

Mereka juga menghormati keputusan Santo yang hanya menghasilkan 90 kotak kayu mengandungi pelbagai barangan eksklusif Search dalam tiga edisi berbeza.

Sementara itu, wakil Santo, Saiful Sokran mengakui meminati Search dan tidak teragak-agak menjalinkan kerjasama dengan kumpulan idolanya.

“Mereka band nombor satu negara dan turut dikenali di Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Tempahan yang diterima kami agak tinggi, tetapi kami tak bercadang untuk keluarkan lebih daripada 90 kotak kayu.

“Kami akan bertindak tegas dan menyediakan barisan peguam sekiranya produk ini ditiru,” katanya.

Perkembangan lain, Search sering menerima pertanyaan bila akan mengadakan konsert terbaru.

“Peminat sudah lama tunggu, tetapi kami masih menanti tawaran daripada penganjur.

“Harapnya hujung tahun ini atau awal tahun depan Search dapat menjayakan konsert besar.

“Bidang ‘showbizz ‘sekarang tak macam dulu. Sekarang dengan kekurangan penaja buatkan kami terkesan,” katanya.

Nasir pula menjelaskan sudah mengadakan perbincangan dengan dua penganjur yang berminat menganjurkan konsert Search.

“Ikutkan saya tak mahu dedahkan perkara ini kerana nanti dikata cakap kosong pula.

“Satu penganjur berminat nak bawa Search buat konsert di Malaysia Timur manakala satu lagi di Kuala Lumpur.

“Ia bukan perkara yang mudah kerana konsert Search biasanya bukan kecil-kecilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:20 AM