UMIE bersama suami dan anaknya Aisya Humaira pada Majlis Aqiqah dan Kesyukuran, di TPC Bukit Kiara. FOTO Saifullizan Tamadi
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON terkenal Datin Seri Umie Aida menggunakan pendekatan memperdengarkan ayat al-Quran selama sebulan untuk satu juzuk kepada anaknya, Aisyah Humaira.

Umie, 46, atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, berkata, method yang digunakan Ustaz Hadi Hidayat dalam mendidik anak itu turut dipraktikkan untuk Aisyah.

“Alhamdulillah, sekarang Aisyah sudah berusia lebih dua bulan. Jadi, sudah masuk juzuk dua.

“Saya menggunakan pendekatan digunakan Ustaz Hadi Hidayat dalam mendidik anak. Caranya, perdengarkan ayat al-Quran selama sebulan untuk satu juzuk. Begitulah seterusnya.

“Macam untuk diri sendiri, saya buat dengan surah Yassin. Bangun pagi buka dan sebelum tidur pun sama. Alhamdulillah, lama-lama kelamaan apabila sudah boleh hafal.

“Jadi, method sama saya buat kepada Aisyah yang otaknya masih segar. Dia serap apa dia dengar. Tinggal nanti, apabila dia boleh baca dan akan terus ingat. Insya-Allah, itu yang saya buat sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Umie yang juga pelakon filem Dukun berkata, pendekatan dibuat itu dapat mendidik dirinya menjadi manusia lebih baik.

“Allah bagi anak ini untuk mendidik kita yang kadang kala alpa dan leka.

“Anak ini mendidik saya menjadi manusia yang lebih baik dan mendekatkan diri kepada Allah. Kita mohon sesuatu yang terbaik untuk anak kita.

“Apa yang kita buat terbaik untuk anak kita, dalam masa sama untuk diri kita juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 1:42 PM