AJAI (kanan) harap Mamat (kiri) segera berubah dan sedar diri cukup bertuah kerana memiliki rakan dalam Exists. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"KAMI sayangkan Mamat bukan lagi sebagai anggota Exists tetapi seperti adik-beradik. Sebaik konsert berakhir, Mamat akan mendapatkan rawatan di Pengasih (Persatuan Pengasih Malaysia)," kata Mohd Faizal Maas, 44, atau Ajai.

Ajai mengesahkan, rakannya, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin, 41, akan mendapatkan rawatan dan kaunseling di pusat pemulihan itu selepas mereka menjayakan konsert Exists Reunion di The Theatre at Media Corp, Singapura pada Sabtu ini.

Seketika itu Mamat akan bergegas ke Johor untuk menyelesaikan siasatan kes dadah di Taman Perling, Johor Bahru pada 8 September lalu.

"Kami akan jaga dia kerana sayangkan Mamat. Ini adalah semangat 'brotherhood' (persahabatan) yang dapat ditonjolkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, sejurus Mamat dibebaskan dengan jaminan polis 10 September lalu, mereka membawa Mamat ke Pengasih untuk mendapatkan khidmat nasihat.

"Mamat sudahpun mendapatkan kaunseling pertama dan selepas ini pemulihan akan dilakukan. Selama ini Mamat bersendirian menyebabkan dia sukar meninggalkan tabiat itu (menagih dadah)," katanya.

Selain anggota Exists, Ajai memberitahu isterinya, Norliza Ilias antara insan yang bertungkus-lumus mahu memulihkan Mamat.

"Kami gembira dengan perkembangan ini, malah ketika konsert Exists Reunion berlangsung (Sabtu lalu), sukarelawan Pengasih bertandang ke stadium untuk menjenguknya.

"Kami sudah membuka laluan dan diharapkan Mamat menguatkan diri untuk berubah," katanya.

Katanya, dia memahami bukan mudah meninggalkan dadah namun mereka sentiasa mengingatkan Mamat kenangan lalu dan menunjukkan wajah anaknya.

"Kami mahu Mamat teringat kenangan lama dan merasai erti kasih sayang. Mamat, berubahlah. Kau cukup bertuah kerana memiliki rakan dalam Exists," katanya.

Dalam pada itu Ajai memberitahu mereka belum berkesempatan membawa Mamat bertemu Datuk Jamal Abdillah untuk mendapatkan nasihat serta pandangan.

Sementara itu pada persembahan Exists Reunion di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu, Mamat menampilkan vokal terbaik dengan majoriti peminat memuji suaranya yang memukau.

Peminat Exists menerusi laman sosial meminta Mamat meninggalkan dadah tambahan pula dia berbakat dalam nyanyian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:24 PM