AHMAD Faisal berharap kerjaya sebagai penyampai radio dapat diisi oleh graduan jurusan komunikasi dan media.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SETIAP penyampai radio di negara ini disaran supaya menambah ilmu pengetahuan bagi memastikan maklumat berguna dapat disalurkan kepada pendengar.

Pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, pengetahuan yang luas sangat diperlukan sekiranya mahu berkhidmat dalam barisan media.

"Secara logiknya, setiap penyampai radio mesti memiliki ilmu bukan untuk berjenaka semata-mata. Apabila menyampaikan sesuatu perkembangan, anda perlu tahu mengenainya," katanya.

Beliau mengulas kenyataan penyampai radio berpengalaman, Isma Halil Hamzah hari ini mengenai kebanyakan penyampai radio ketika ini 'membuat lawak dan ketawa sendiri' ketika bersiaran di udara.

Ahmad Faisal dalam pada itu berharap kerjaya sebagai penyampai radio dapat diisi oleh graduan jurusan komunikasi dan media.

"Dalam perkembangan hari ini, saya melihat kebanyakan stesen radio gemar menjemput bekas peserta rancangan realiti untuk menjadi penyampai radio.

"Ia adalah strategi kerana artis meniti puncak populariti yang diyakini boleh menarik pendengar. Namun, sejak beberapa tahun lalu kita sering kedengaran mengenai kualiti penyampai radio," katanya.

Menurutnya, kritikan terhadap penyampai radio yang gemar membuat lawak dan ketawa sendiri sudah lama dibincangkan namun stesen radio terpaksa meletakkan artis terbabit kerana mereka tumpuan ramai.

"Diakui penyampai radio masa ini sering bergelak ketawa dalam konti dan menjadi persoalan apakah maklumat dan santapan rohani yang mahu disampaikan kepada pendengar," katanya.

Pucuk pangkal katanya, ia berbalik kepada pemilik stesen radio dan pilihan pendengar itu sendiri.

Berita berkaitan

Penyampai radio sekarang, buat lawak gelak sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 9:09 PM