RAHIM tidak terasa hati dengan teguran Isma Halil yang mengatakan penyampai radio sekarang gemar membuat jenaka dan ketawa sendiri. FOTO Instagram Rahim
RAHIM tidak terasa hati dengan teguran Isma Halil yang mengatakan penyampai radio sekarang gemar membuat jenaka dan ketawa sendiri. FOTO Instagram Rahim
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAWAK, Rahim Mat Ali, 49, atau Rahim Sepahtu tidak terasa hati biarpun penyampai radio berpengalaman, Isma Halil Hamzah, 46, mendakwa penyampai radio pada masa ini gemar membuat jenaka dan ketawa sendiri.

Rahim berkata, dia menghormati teguran yang diberikan Isma Halil kerana beliau berpengalaman selama 26 tahun sebagai penyampai radio.

"Teguran itu (gemar membuat lawak dan ketawa sendiri) adalah pandangan peribadi dan ia tidak mewakili sesiapa.

"Sebagai orang lama, kami menghormati pendirian Isma Halil," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Rahim yang lima tahun bergelar penyampai radio di sebuah stesen mengulangi tidak terasa hati kerana teguran itu pandangan secara umum.

"Kenapa kami perlu terasa hati kerana kenyataan itu tidak merujuk mana-mana stesen mahupun penyampai radio," katanya.

Menurutnya, penyampai radio diberi kelonggaran untuk berkarya (bercakap) namun kandungannya dipantau dan ditapis sebelum ke udara.

"Selagi ia tidak menyentuh sensitiviti bangsa dan agama, penggunaan bahasa tidak sopan dan isu yang boleh mengundang kecelaruan masyarakat, kami diberi kelonggaran," katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan Isma Halil menegur barisan penyampai radio sekarang yang gemar membuat jenaka dan ketawa sendiri.

Isma Halil berkata, cara penyampaian mereka menunjukkan seolah-olah penyampai radio tiada pengetahuan dan tiada pengisian dapat disalurkan kepada pendengar.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana pihak stesen radio mengundang bekas peserta rancangan realiti dan program lawak berkhidmat sebagai penyampai radio.

Berita berkaitan

Penyampai radio sekarang, buat lawak gelak sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 3:34 PM