JOHAN sentiasa berpegang cara penyampaian radio pada zaman lalu sudah tidak ada. FOTO Arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“PERKARA ini bukanlah baru kerana kami ada mendengarnya (buat lawak dan ketawa sendiri). Ia cara kami iaitu menghiburkan diri sendiri sebelum menghiburkan orang lain," kata Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 35, atau Johan Raja Lawak.

Dia yang juga penyampai radio ERA FM memberi penjelasan selepas penyampai radio berpengalaman, Isma Halil Hamzah, 46, mendakwa penyampai radio pada masa ini gemar membuat jenaka dan ketawa sendiri.

Johan menegaskan, zaman sentiasa berubah dan cara penyampaian di radio juga berbeza mengikut peredaran zaman.

"Inilah trend terkini yang mana pendengar mahukan muzik, info (maklumat) dan hiburan. Bagaimana berhibur, ia terpulang pada penyampai radio masing-masing," katanya.

Menurutnya, kerana cara itulah itulah ERA FM kekal sebagai stesen nombor satu negara iaitu selama sembilan tahun berturut-turut.

"Sudah sembilan tahun saya berkhidmat sebagai penyampai radio, Alhamdulillah ERA FM memiliki tujuh juta pendengar," katanya.

Katanya, dia bukanlah mahu 'syok' sendiri tetapi cara penyampaian di radio berubah mengikut trend pendengar.

"Ini bukanlah lagi zaman terdahulu apabila penyampai radio mainkan lagu dan bercakap, kemudian main lagu semula," katanya.

Menurutnya, berikutan sasaran stesen radio itu adalah remaja, penyampai radio perlu menampilkan kelainan, mengikut apa yang mereka suka.

"Saya sentiasa beringat bahawa akan tua suatu hari nanti, sama seperti dia (Isma Halil). Bagaimanapun stesen radio tetap akan muda dan saya perlu menerima kenyataan zaman sudah berubah," katanya.

Johan berkata, sama ada dia akan menyertai perubahan itu atau kekal mengikut cara sendiri, ia terpulang pada dirinya.

"Saya sentiasa berpegang cara penyampaian radio pada zaman lalu sudah tidak ada," katanya.

Biarpun begitu Johan tetap menghormati pandangan Isma Halil kerana setiap individu memiliki pendapat masing-masing.

Berita berkaitan

Penyampai radio diberi kelonggaran untuk berkarya

Penyampai radio perlu tambah ilmu

Penyampai radio sekarang, buat lawak gelak sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 4:08 PM