ZARINA Zainuddin (tengah) di denda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas enam pertuduhan memiliki dan menjual alat kosmetik tidak bernotifikasi. FOTO Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir

KES membabitkan pelakon Zarina Zainuddin yang dikenakan hukuman denda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Rabu lalu atas enam pertuduhan memiliki dan menjual alat kosmetik tidak bernotifikasi diharap mampu membuka mata pengguna.

Dalam masa sama, artis lain yang berniaga produk seumpamanya perlu lebih peka. Jangan hanya main jual sahaja dan ingin cepat kaya hingga sanggup mengabaikan kesan kepada si pemakai.

Malah, ada antara artis ini sebenarnya tidak menggunakan produk yang diniagakan. Mereka hanya jual muka dan nama. Istilah ringkas, itulah pelarisnya.

Orang kita pula, pantang tengok artis berniaga, dengan segera ingin mendapatkannya. Tolak tepi soal harga apatah lagi ingin membaca kandungan yang ada.

Mendapat kelulusan pihak kementerian atau sebaliknya, bukan yang utama. Janji barang atau produk itu sudah ada dalam tangan dan depan mata. Paling penting, dapat memuaskan nafsu yang sudah membuak lama.

Begitulah besarnya tarikan artis yang berniaga produk sendiri hingga mampu membuatkan pengguna tidak perlu berfikir banyak kali untuk membeli.

Namun, dalam keghairahan itu, tanpa disedari ia mampu memudaratkan diri. Mungkin kesannya lambat lagi tetapi jika tidak berhenti ia pasti memakan diri.

Apabila sudah terkena nanti, mahu buat apa lagi? Segala-galanya sudah terlambat dan tidak ada gunanya menuding jari. Sebaiknya salahkan diri sendiri kerana tidak bersikap ambil peduli. Mahu minta ganti rugi? Mungkin artis itu sudah lari. Akhirnya, pengguna hanya mampu gigit jari.

Sebolehnya kita tidak ingin perkara ini terjadi. Biarlah proses jual beli itu berlangsung dengan baik tanpa sebarang prejudis di hati. Cara itu juga pastinya lebih diberkati. Jadi, buat si pembeli kena lebih berhati-hati. Kalau boleh selidik sebelum beli.

Paling penting di sini, artis jangan sesekali culas dalam bab ini. Anda perlu bertanggungjawab atas segala yang dimiliki. Ikut saluran betul sebelum perniagaan anda dicurigai.

Jika tidak tahu caranya, jangan malu bertanya. Pentingkan keselamatan pengguna dan bukannya nak kaut untung semata-mata. Jika berjaya, anda juga dapat faedahnya. Kalau sebaliknya, orang akan menyumpah seranah dan mengata.

Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kasihan dengan artis yang berniaga mengikut saluran betul tetapi terkena tempias serupa. Terus hilang kepercayaan kepada mereka, hancur musnah perniagaan dibina.

Jadi, apabila ingin berniaga fikirlah kesan buruk dan baiknya. Jangan menipu pengguna. Jangan berselindung di sebalik nama. Lambat atau cepat, pasti akan terkena.

Apabila ditangkap dan didakwa, rosak jenama yang dibina. Kredibiliti musnah dan mana nak letak muka? Tutuplah dengan apa cara dan benda, satu Malaysia sudah tahu anda menipu pengguna.

Pesan saya kepada semua artis yang berniaga, jujurlah dan bersikap amanah. Pengguna pula, jangan mudah terpedaya. Esok terkena, nak menyesal sudah tidak berguna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 8:30 AM