ALIF (dua kiri) akan bersama kumpulan Raihan menjayakan Konsert Amal 'Countless Blessing' Alif Satar dan Raihan pada 2 November ini. FOTO Mustaffa Kamal
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, pelakon dan pengacara, Alif Satar kini giat menggunakan saluran YouTube miliknya untuk membantu mengutip dana bagi badan amal, Komited Malaysia.

Menurut Alif, setakat ini, dia sudah berkongsi dua episod video di YouTube untuk membantu rumah amal yang bertapak di Pahang itu.

"Ini adalah kali kedua saya membantu mengutip dana untuk Komited Malaysia. Mereka adalah rumah yang membantu kanak-kanak memerlukan contohnya anak luar nikah dan terkesan daripada HIV.

"Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengan mereka pada Ramadan lalu. Jadi, harapnya, kali ini, kerjasama ini akan berterusan dan kita dapat membantu mengutip dana untuk mereka," katanya kepada Harian Metro.

Terbaru, Alif bekerjasama dengan kumpulan nasyid, Raihan untuk mengadakan Konsert Amal Countless Blessing Alif Satar & Raihan.

"Konsert ini juga adalah satu inisiatif untuk membantu bukan saja Komited Malaysia, tetapi juga bersempena Kempen Live a Life 2019 oleh Philandure dan Komited Malaysia.

"Konsert Amal Countless Blessing Alif Satar & Raihan bakal berlangsung di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara pada 2 November, jam 8 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 7:59 PM