FYDA serik untuk berbelanja menerusi pembelian atas talian selepas ini. FOTO Facebook Fyda Razali
Mohamad Ridzuan Abdul Rahman


KEINGINAN isteri pelakon Roy Azman, Fyda Razali untuk memiliki telefon bimbit jenama mahal tidak tercapai apabila ditipu oleh sindiket scammer baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan oleh Fyda atau nama sebenar Rafidah Mohd Razali yang juga bekas anggota kumpulan Princess di laman Facebook miliknya.

Katanya, dia melihat iklan berkenaan telefon jenama terbaru itu yang dijual secara atas talian dengan harga murah.

"Portal jualan ini beroperasi dari Indonesia dan saya tertarik apabila harganya hanya RM900.

"Apabila masukkan duit, saya ingatkan dah selesai, namun kemudiannya dimaklumkan proses penghantaran diserahkan kepada pihak lain pula.

"Saya memang tak sangka proses ini perlukan deposit RM1,700, yang kononnya akan dipulangkan balik dalam masa 15 minit," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fyda, alasan yang diberikan ialah wang itu untuk kegunaan akses kad pintar membuatkan dia mempercayainya bulat-bulat.

"Memandangkan telefon ini dibeli dari luar negara, saya ingatkan proses pembeliannya sebegitu rupa.

"Saya mudah percaya kerana individu terbabit siap hubungi untuk beri keyakinan. Malah dia juga berani tunjuk video wajahnya.

"Saya akhirnya percaya dan masukkan RM1,700 secepat mungkin. Selepas satu jam, saya menghubungi individu terbabit untuk bertanya sama ada proses ini berjalan lancar," katanya.

Fyda berkata, dia kemudian diminta memasukkan lagi RM2,300 membuatkannya tersedar sudah tertipu.

"Sebenarnya, sebelum masukkan RM1,700, saya menghantar mesej WhatsApp orang tempatan yang pernah beli telefon di kedai individu terbabit berdasarkan respons diletakkan di Instagramnya.

"Mulanya dia balas mesej dalam Bahasa Melayu, tapi akhirnya mesej itu dalam Bahasa Indonesia dan saya dah mula syak ini satu penipuan.

"Terasa seolah-olah saya diperbodohkan. Penat-penat kumpul duit, begini jadi akhirnya," katanya.

Fyda mengakui mulanya mahu merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ramai.

"Saya hanya minta pendapat adik ipar yang juga seorang anggota polis, tapi dia menasihatkan supaya buat laporan polis untuk tujuan keselamatan.

"Polis kata individu ini orang Nigeria. Saya pun tak pasti kerana kalau tengok dari muka, memang orang Indonesia. Saya tengok laman Instagramnya masih aktif sampai sekarang.

"Saya rugi keseluruhan RM2,600. Selama ini saya kerap berbelanja secara atas talian tapi tak pernah kena tipu," katanya yang serik untuk berbelanja menerusi cara itu selepas ini.

Katanya, jika dia membuat laporan polis dalam tempoh yang cepat, wangnya mungkin dapat dikembalikan.

"Mereka mungkin boleh kesan individu ini kerana dia masih aktif dalam aplikasi WhatsApp. Silap sayalah pilih berdiam diri dan kemudian baru nak bertindak.

"Polis memang tak boleh buat apa-apa dan duit takkan dapat semua. Namun yang penting saya dapat buat laporan polis, barulah rasa lega," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:23 PM