SIMPAN impian pegang watak antagonis, tak kisah dilabel ‘pelakon jahat’. FOTO Rohanis Shukri


PENYANYI yang memperkenalkan diri sebagai Eleena Harris ini sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Meskipun namanya tidak sepopular artis lain, kehadiran penyanyi yang dikenali menerusi lagu Terlalu Rindu ini aktif dan sering berada dalam radar seni hiburan.

Terbaharu Eleena mahu mencuba nasib dalam bidang lakonan selepas hampir lima tahun bergiat aktif dalam dunia nyanyian.

Kata Eleena, dia ingin meneroka sesuatu yang baharu dan mencuba nasib dalam bidang lakonan jika ada tawaran menarik.

“Saya pernah berlakon, tetapi hanya dalam beberapa iklan komersial serta video muzik.

“Saya teringin mencuba nasib menjadi pelakon kerana mahu mencuba bidang baharu.

“Selagi perkara terbabit mendatangkan manfaat, tiada salahnya saya mencuba. Saya juga suka belajar dan melakukan sesuatu perkara baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis prapelancaran YES (Year End Sale) I Suka MBH di MBH Medispa cawangan Subang di Jalan USJ 10/1, Subang Jaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Eleena juga menyimpan harapan untuk memegang watak jahat dalam sesebuah naskhah.

“Sebagai selebriti, saya tidak meletakkan had dalam kerjaya seni. Kalau boleh, saya mahu cuba menjayakan watak antagonis.

“Saya tertarik melihat pelakon yang membawakan watak antagonis dan teringin mencubanya.

“Bagi saya, watak antagonis mempunyai impak dan karakter yang mencabar. Saya tak kisah jika ada yang nak label sebagai pelakon jahat pada masa akan datang,” katanya.

Lima tahun mencanai bakat dalam dunia nyanyian, Eleena bersih tanpa sebarang kontroversi.

Katanya, dia enggan terpalit atau sengaja mengada-adakan cerita tidak benar untuk meraih populariti atau perhatian orang.

“Saya kini sibuk dengan kerjaya nyanyian dan pada waktu sama bekerja sambilan sebagai akauntan.

“Bagi saya, rezeki itu akan sampai bila tiba masanya. Saya tidak perlu tergesa-gesa atau terlalu mencuba semata-mata nak dikenali.

“Biarlah kehadiran saya ini seadanya. Lagipun, saya okey dengan apa yang dinikmati ini. Kerjaya nyanyian berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Eleena kini menyanyikan lagu rasmi MBH Medispa iaitu I Pergi MBH ciptaan DJ Fuzz.

“Lagu ini dibuat untuk peminat mudah mengingati liriknya. Saya percaya lagu ini akan mudah menangkap jiwa pendengar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:20 AM