CHE Muhammad Hafiz menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah. FOTO Facebook Che Muhammad Hafiz
Sudirman Mohd Tahir


“GANTUNG tak bertali? Itu kena tanya pihak plaintif (Lufya) sendiri sebab dia yang dakwa. Jadi, dia yang kena jelaskan,” kata bekas suami penyanyi dan pelakon, Lufya Omar iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

Che Muhammad Hafiz, 29, berkata, dia juga tidak ada keperluan untuk menjelaskan segala dakwaan lain yang ditimbulkan wanita itu.

Menurutnya, dia menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah.

”Ini adalah isu membabitkan rumah tangga kami dan plaintif sudah failkan kes. Jadi, mahkamah yang tentukan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai ketidakhadirannya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya pagi tadi, Che Muhammad Hafiz menjelaskan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak mahkamah.

“Isu tidak hadir hari ini saya sudah berurusan dengan pihak mahkamah dan nyatakan mengenai perkara ini.

“Oleh itu tidak ada apa yang saya ingin ulas mengenai isu ini,” katanya.

Terdahulu, Lufya sebagai plaintif hadir ke mahkamah untuk sebutan permohonan cerai yang difailkan olehnya terhadap suaminya, pada bulan lalu.

Bagaimanapun, Dr Che Muhammad Hafiz yang juga defendan tidak hadir dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof.

Dalam prosiding itu, peguam syarie Fadhlina Siddiq yang mewakili Lufyra memaklumkan saman kepada defendan sudah diserahkan di tempat kerjanya di Jempol, Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak, Laana Haura, yang kini berusia dua tahun.

Berita berkaitan

'4 bulan saya digantung tak bertali'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 4:23 PM