RAMLAH ditaja untuk menunaikan umrah. FOTO/NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"SEPATUTNYA arwah yang mengerjakan umrah tetapi impiannya tidak menjadi kenyataan. Apabila tiba di sana (Makkah), saya akan mengirimkan doa buatnya," kata Ramlah Ahmad, 60, balu bekas pemain dram kumpulan Search, Allahyarham Yazit Ahmad yang meninggal dunia pada 26 September lalu.

Ramlah berkata, dia mensyukuri tajaan menunaikan umrah diterima daripada agensi pelancongan, In Saff Travel & Tour Sdn Bhd pada sidang media Show Kenang Jasa Insan Seni Allahyarham Yazit Ahmad di i-Cafe Bikerstation, Sungai Buloh, semalam.

Mengimbau kenangan, Ramlah berkata, arwah pernah menyuarakan keinginan untuk mengerjakan ibadah itu awal tahun ini.

"Saya menasihati arwah jaga kesihatan supaya kami dapat bersama-sama ke sana. Tetapi apakan daya, ia tidak kesampaian," katanya.

Menurutnya, dia akan berbincang dengan tiga anaknya berusia 28 hingga 38 tahun untuk ke Tanah Suci tahun depan.

Katanya, biarpun suaminya sudah tiada kehidupannya masih terurus malah rakan arwah begitu mengambil berat terhadap keluarganya.

"Masih terngiang-ngiang di ingatan, arwah mahu berkongsi nasi ayam dan ikan penyet bersama keluarga sebaik keluar hospital, Mei lalu," katanya.

Sementara itu pengurus majlis, Datuk Rosli Buang berkata, program yang akan dianjurkan 25 Oktober ini bertujuan mengenang jasa arwah selama 40 tahun dalam industri seni tanah air.

Katanya, pihaknya bercadang menumbangkan seekor lembu untuk diadakan kenduri dan majlis tahlil bersempena penganjurannya.

"Kami amat mengharapkan sokongan melalui jualan 100 meja (tetamu) berharga RM350 setiap satu. Bagi setiap meja ia boleh diduduki 10 individu," katanya.

Menurutnya, program bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam bakal menyaksikan artis legenda mengadakan persembahan seperti Man Kidal, Oma Akira, Burnmark, Datuk Nash, Zul Handyblack, Assalam Band dan Rampage. Mereka juga menjemput Amy Search dan Datuk Awie.

Rosli yang juga bekas pengurus persembahan arwah memberitahu, jumlah sumbangan akan digunakan membiayai kos penganjuran dan disalurkan kepada keluarga arwah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 12:30 AM