AERIL turut bintangi filem KL Vampires.


SEKIAN lama masyarakat kita sering disajikan dengan kisah puntianak yang dianggap sebagai mitos. Ia sering menjadi bualan terutama pada waktu malam.

Bagaimanapun, dalam filem terbaharu terbitan Cinemaya Studios Sdn Bhd berjudul KL Vampires, ia memaparkan kisah kewujudan makhluk yang dikenali sebagai ‘vampire’ (puntianak) mengganas di Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Daven R berkata, minat yang mendalam terhadap filem fiksyen seperti Star Wars dan Close Encounters Of The Third Kind memberikan inspirasi kepadanya untuk menghasilkan karya itu.

Kongsi Daven R, pada 2012 dia terbaca tulisan seorang blogger yang menggunakan nama Nazri Vovinski mengenai ‘vampire’.

“Dalam tulisannya itu, dia menceritakan kewujudan makhluk berkenaan di Malaysia dan tulisannya agak lucu.

“Kemudian saya bermimpi ada puntianak jahat mahu menguasai dunia dan sejak itu bertekad mahu menghasilkan filem yang menceritakan makhluk itu,” katanya.

Menurutnya, selepas melakukan penyelidikan mendalam mengenai makhluk itu dia bertemu Nazri untuk menghasilkan skrip KL Vampires.

Jelasnya, dia cuba berjumpa beberapa pihak untuk mendapatkan dana bagi pembikinan filem berkenaan, tetapi agak hampa kerana pihak terbabit menyatakan tidak wujud ‘vampire’ di Malaysia.

“Saya tidak berputus asa dan meneruskan lagi penyelidikan sehinggalah terbaca mengenai mitos Raja Bersiong.


ANTARA babak dalam KL Vampires.

“Ternyata mitos Raja Bersiong itu memberikan saya idea untuk mencipta sebuah ‘universe vampires’ di Malaysia dengan terhasilnya KL Vampires,” ujarnya.

Mengenai pembikinan filem itu, Daven memberitahu ia dilakukan di Kuala Lumpur selama 35 hari serta beberapa lokasi di Jogjakarta. Salah satunya ialah di Istana Air Taman Sari pada 2016.

Dalam pada itu, pelakon utamanya Raja Ilya berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem ini selepas melihat jalan cerita mengenai makhluk itu yang jarang dihasilkan.

Menurut Raja Ilya, pada masa sama dia memang berkeinginan untuk bekerja di bawah arahan Daven R dan tawaran untuk memegang watak sebagai Ratu Citra Sari diterimanya.

“Sebelum ini saya memang teringin untuk bekerja di bawah arahan Daven R dan hampir menjayakan sebuah projek, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan.

“Kemudian apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem KL Vampires, saya tidak boleh menolaknya kerana percaya dengan hasil kerjanya yang sangat membanggakan,” ujarnya.

Jelas Ilya, apa yang membuatkan dia lebih teruja apabila pihak produksi memberitahu akan membawa kareografer daripada filem The Raid Redemption untuk terbabit dalam filem berkenaan.

Ujarnya, kareografer yang dibawa seperti Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman yang turut berlakon dalam KL Vampires turut membuatkan dirinya kagum dan yakin filem berkenaan akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa.


DAVEN (kiri) memberikan arahan kepada Raja Ilya.

“Pada mulanya saya macam tidak percaya, namun saya kagum dengan kesungguhan pihak produksi yang mahu menghasilkan sebuah filem yang berkualiti dan memenuhi cita rasa penonton,” ujarnya.

Bagi seorang lagi pelakon utamanya iaitu Josiah Hogan pula berkata, membawakan watak sebagai vampire dan membabitkan babak aksi antara faktor utama dia tertarik membintangi KL Vampires.

Ujarnya, jarang mendapat watak utama sebagai hero juga menjadi salah satu sebab selain mahu merebut peluang yang diberikan serta mahu mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.

“Dalam filem ini saya membawakan watak sebagai Shah, seorang ketua parajurit kepada Ratu Citra Sari yang mempunyai sejarah bercinta dengan manusia.

“Selain pernah menjalinkan percintaan dengan manusia, Shah juga berperanan untuk memastikan hubungan antara manusia dan vampires sentiasa aman,” ujarnya mengenai peranan yang dibawakan dalam filem berkenaan.

Mengenai cabaran sepanjang penggambaran pula, melakukan babak aksi antara yang mencabar, namun bimbingan daripada kareografer banyak membantu dirinya.

“Untuk filem ini banyak babak aksi yang membabitkan diri saya, tetapi tunjuk ajar kareografer dari Indonesia yang dibawa khas ternyata memberikan saya banyak ilmu dan pengalaman.

“Misalnya, salah satu babak yang paling sukar adalah babak pertarungan antara saya dan Pablo Amirul yang menggunakan kabel elektrik,” jelasnya.

Selain Raja Ilya dan Josiah Hogan, filem ini turut dibintangi Aeril Zafrel, Reen Rahim dan Mustaqim Bahadon.

Filem KL Vampires akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula pada 14 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 5:20 AM