HUNNY Madu.
Georgie Joseph


PENGACARA dan penyanyi Hunny Madu mendedahkan hubungannya dengan bekas suami, Khairul Azhar Abdul Wahid sudah goyah sejak beberapa tahun lalu sebelum memutuskan untuk bercerai pada Oktober 2018.

Hunny atau nama penuhnya Hani Farhana Mohd Hatim, 35, berkata, hubungan mereka sudah menemui jalan buntu dan keputusan itu adalah yang terbaik buat semua pihak.

“Apabila hubungan mula goyah, saya dah suami cari jalan untuk berbaik namun tidak berhasil.

“Oleh itu, perceraian adalah jalan terbaik apabila sudah tiada persefahaman. Kami juga sedar inilah yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Menurut Hunny, meskipun keputusan itu agak sukar, dia percaya ada hikmah di sebaliknya.

“Semestinya sebagai manusia biasa, ketika itu saya murung dah tertanya-tanya adakah perceraian jalan terbaik. Namun, sekarang saya gembira hidup sebagai ibu tunggal,” katanya.

Terdahulu, Hunny berkongsi di Instagram TV mengenai perceraiannya dan mengakui sudah tinggal berasingan sejak itu.

Menurutnya, dia dan bekas suami bagaimanapun hanya menandatangani dokumen perceraian pada Julai lalu selepas pembedahan anak mereka, Adam.

“Kesihatan Adam keutamaan kami sepanjang tempoh itu. Alhamdullilah, kesihatannya semakin baik selepas pembedahan.

“Saya baik-baik sahaja dan masih bekerja sebagai pengacara. Mungkin saya juga akan kembali menyanyi,” katanya.

Hunny dan Khairul mendirikan rumah tangga pada 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adam yang kini berusia dua tahun serta Medina, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 4:59 PM