Norhayati Nordin


PELAKON Farah Nabilah, 27, bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya, Mohammed Amirul Yunus, 28, pada 20 Disember ini.

Farah yang popular dengan drama bersiri Kau Yang Pertama dan Cik Reen & Encik Ngok Ngek berkata, dia sudah mengenali Amirul yang juga seorang juruterbang sejak tujuh tahun lalu selepas diperkenalkan rakan artis, Izara Aishah.

Ditanya mengapa dia berahsia mengenai kisah cintanya, Farah berkata, dia mahu fokus kepada kerjaya lakonannya terlebih dulu.

Farah juga sangat mengutamakan restu keluarganya dan memastikan Amirul berjaya mendapat restu daripada mereka terutama ibu bapanya.

"Restu keluarga paling utama buat saya dan bakal suami berjaya memperolehnya dengan usaha bersungguh mengenali dan mendekati ibu bapa saya," katanya.

Farah berkata, dia juga mengambil kira pandangan ibu bapa dan keluarga yang menasihatkannya supaya tidak berkongsi kisah peribadi dengan peminat.

Menurut Farah, dia lebih selesa apabila peminat lebih memberi perhatian kepada kerjayanya berbanding hal peribadi.

Sementara itu, Amirul sangat meminati Farah kerana terpikat dengan senyuman manis dan keperibadian wanita itu.

"Saya sangat sukakan senyumannya. Dia senyum sangat cantik dan itu yang membuatkan saya terpikat," katanya.

Mengulas mengenai kerjaya Farah sebagai pelakon, Amirul berkata, dia menerimanya dan memahami lumrah kehidupan selebriti.

Dalam pada itu, Farah dan Amirul juga akan menjadi pasangan pertama yang dipaparkan di portal terbaru di bawah jenama program perkahwinan popular di TV3, Mahligai Cinta yang boleh dilayari menerusi www.mahligaicinta.com.my mulai November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 1:18 PM
FARAH sudah mengenali Amirul sejak tujuh tahun lalu.