ISA memuat naik gambar wanita misteri di Instagram yang didakwa peminat sebagai pelakon, Risteena Munim. FOTO Instagram Isa Khan


PELAKON dan penyanyi, Isa Khan mula mendedahkan identiti kekasih hatinya yang didakwa pelakon, Risteena Munim seperti hangat diperkatakan sebelum ini.

Isa yang memuat naik gambar intim bersama seorang wanita di Instagram berkata, dia kini sedang berada dalam fasa bahagia.

“Sayang, kamu muncul dalam hidup pada saat aku tidak mempunyai sesiapa. Kamu memberi segala erti dan semangat yang baharu dalam hidup aku.

“Kamu menerima dan mempercayai aku walaupun banyak manusia jahat cuba untuk meracuni fikiran namun kamu tetap berani untuk mencintai aku.

“Walaupun semuanya terjadi dengan sangat cepat, tapi aku berasa sudah lama mengenali dirimu. Kamu seorang wanita yang sangat sempurna. Aku janji akan menjadikan kamu wanita yang paling bahagia di dunia ini,” tulisnya.

Menurut Isa, dia turut berjanji akan melindungi dan menyayangi kekasih hatinya itu dengan sepenuh hati.

“Aku nak kamu tahu bahawa kamu adalah hal yang terindah dan sebahagian besar dalam hidup aku sekarang. Insya-Allah, Tuhan kirimkan kamu ke dalam hidup aku sebagai jodoh. Terima kasih kerana mencintai aku dengan setulus hati. Aku tidak akan mengecewakan kamu,” tulisnya lagi.

Sementara itu, Isa memohon maaf kepada rakan media kerana belum bersedia memberikan sebarang kenyataan mengenai hubungannya itu.

“Kepada sahabat media, minta maaf aku belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan. Minta doa daripada kalian moga semuanya dipermudahkan buat aku dan dia,” tulisnya.

Terdahulu, hubungan antara Isa dan Risteena mula menjadi bualan ramai selepas kakak kepada pelakon, Ruhainies itu mula memuat naik gambar dan video bersama seorang lelaki berserta emoji ‘love’.

Malah, sebelumnya Risteena sempat memuat naik gambar bersama Isa dan kakak pelakon itu, Farali Khan berserta keterangan gambar ‘Family’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 9:40 PM