REMY akan menjadi lemah selepas Subuh hingga waktu Asar. FOTO Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry


PELAKON, Remy Ishak mengakui dirinya masih dalam tempoh rawatan selepas dipercayai mengalami gangguan akibat perbuatan sihir.

Remy, 37, berkata, dia harus kuat melawan ujian dan dugaan sedang dilalui, malah apa yang terjadi dia perlu melihat semula ke dalam diri.

“Mungkin apa yang berlaku ada juga kesilapan datang daripada diri sendiri dan saya tidak menyalahkan orang lain.

“Walaupun ujian ini terlalu berat saya harus melaluinya dan bangkit untuk melawan,” katanya.

Katanya, kejadian itu berlaku sudah lebih setahun namun hanya baru-baru ini dia menyedarinya.

Remy sebelum ini pernah berkongsi Instagram (IG) live video mengenai dirinya yang menjadi mangsa ilmu hitam.

Menerusi perkongsian itu katanya, pada awal dia menyangka mengalami kemurungan namun selepas keadaan semakin teruk dia bertemu ustaz untuk mendapatkan rawatan.

Selepas menjalani beberapa rawatan barulah Remy sedar yang dia terkena buatan orang.

Katanya, dia akan menjadi lemah selepas Subuh hingga waktu Asar.

“Sehingga kini saya masih diganggu terutamanya pada waktu Maghrib apabila hendak solat benda itu akan mengusik saya.

“Keadaan saya jadi serba tidak kena dan apabila berada di tempat orang ramai kadang-kadang boleh jadi pemarah.

“Mujur masih ada agama dan itu yang membuatkan saya kuat untuk melawan,” katanya.

Remy berkata, dia tidak boleh mengalah kerana yakin setiap yang berlaku ada jalan penyelesaian.

“Saya percaya tiada siapa yang mampu melawan kuasa Allah, saya perlu kuat untuk terus melawan dan bertahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:41 PM