JOHAN mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan penyiar, penggiat seni dan penaja yang mengambil bahagian dalam Anugerah Skrin 2019. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


RANGKAIAN Televisyen Media Prima Berhad (RTMPB) berpuas hati dengan penganjuran Anugerah Skrin (ASK) 2019 yang berjaya meraih 4.8 juta tontonan pada 1 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Ishak berkata, anugerah itu yang disiarkan secara langsung di TV3 turut meraih 700,000 tontonan digital.

"Sekalung penghargaan kepada mereka yang mengikuti siaran langsung ASK 2019 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penarafan itu dicatatkan oleh Nielsen Audience Measurement, YouTube, Dailymotion dan Media Prima Digital.

“Bagi pihak penganjur, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan penyiar, penggiat seni dan penaja yang mengambil bahagian.

"ASK 2019 menyediakan platform kepada syarikat penerbitan menerusi stesen televisyen bagi memperlihatkan hasil dan produk mereka," katanya.

Pada anugerah itu, karya arahan Wan Afzam Wan Daud, Di Sisi, dinobatkan sebagai Drama Terbaik manakala One Two Jaga memenangi Filem Terbaik.

Johan berkata, ASK 2019 mempertaruhkan 30 kategori merangkumi 14 kategori drama, tujuh kategori filem serta sembilan kategori bukan drama dan teknikal.

Selain Drama Terbaik, Di Sisi memenangi empat kategori lain iaitu Pengarah Terbaik Drama (Wan Afzam Wan Daud), Lakon TV Terbaik (Amin Masyur), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Ruzaidi Rahman) dan Penyunting Drama Terbaik (Izar Masuri).

Bagi filem One Two Jaga, mereka juga memenangi tiga anugerah lagi iaitu Lakon Layar Terbaik (Pitt Hanif, Namron & Mohd Syafiq), Pelakon Lelaki Terbaik Filem (Dr Rosdeen Suboh) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem (Zahiril Adzim).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:18 PM